PERLINDUNGAN UNTUK WARGA EMAS BERISIKO TINGGI KKM SERU AMBIL PELUANG VAKSIN INFLUENZA PERCUMA

Jumaat 25/04/2025

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini berkenaan pelaksanaan Program Imunisasi Influenza Warga Emas yang menawarkan vaksin influenza secara percuma kepada warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik.

Program ini telah bermula pada 18 Februari 2025. Sehingga 20 April 2025, sebanyak 59.47% warga emas dengan komorbid telah menerima suntikan vaksin influenza, berdasarkan jumlah dos vaksin yang telah dibekalkan ke fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara.

Masih terdapat 57,093 slot janji temu vaksinasi yang tersedia, dan orang ramai boleh mendapatkan vaksin influenza di fasiliti kesihatan kerajaan sehingga akhir Ogos 2025. Warga emas yang layak disarankan agar segera membuat janji temu sebelum slot ditutup.

Perkhidmatan ini disediakan di 649 Klinik Kesihatan (KK) terpilih di seluruh Malaysia. Vaksin diberikan secara percuma dan merangkumi kos vaksin, peralatan, serta khidmat kesihatan berkaitan. Janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera. Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan, melayari portal rasmi atau media sosial KKM, atau hadir sendiri ke KK untuk mendapatkan maklumat lanjut. Sebagai tambahan, KKM ingin memaklumkan bahawa KK yang terlibat telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan program imunisasi ini.

Bagi warga emas yang tidak mempunyai akses kepada MySejahtera, mereka boleh hadir secara walk-in ke KK yang disenaraikan untuk pendaftaran dan suntikan, tertakluk kepada slot yang masih tersedia. 

KKM menggalakkan warga emas yang hadir untuk rawatan susulan penyakit kronik di Klinik Kesihatan berkenaan agar mengambil inisiatif untuk mendapatkan maklumat dan bertanya berkenaan kelayakan menerima vaksin influenza secara percuma, sekiranya belum ditawarkan. 

KK menyeru semua warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit pernafasan kronik atau tekanan darah tinggi untuk mengambil peluang ini bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya menjelang musim jangkitan. 

Langkah ini penting bagi mencegah komplikasi serius dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital akibat jangkitan influenza dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk laman web rasmi KKM atau hadir terus ke Klinik Kesihatan yang terlibat.

#LindungiWargaEmas #VaksinInfluenzaKKM #SihatSejahtera
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
24 APRIL 2024

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: TIMOTHY PALAVADRAM
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia 
E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my

--BERNAMA
+