RAKYAT BAKAL MENIKMATI PERKHIDMATAN PERUBATAN TRADISIONAL DAN KOMPLEMENTARI MELALUI MOU KERAJAAN MALAYSIA DAN UTAR EDUCATION FOUNDATION

Selasa 29/04/2025

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan UTAR Education Foundation atas Kerjasama dalam Penawaran Perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) telah dimeterai pada 26 April 2025. 

Melalui kerjasama ini, pegawai perubatan di fasiliti KKM boleh merujuk pesakit yang memerlukan perkhidmatan PT&K ke UTAR T&CM Centre. UTAR T&CM Centre pula akan memberi potongan caj kepada pesakit rujukan KKM yang akan ditanggung oleh pesakit sendiri.  

MoU ini telah ditandatangani oleh YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bagi pihak Kerajaan Malaysia dan YBhg. Ir. Academician Emeritus Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Chuah Hean Teik, Pengerusi Lembaga Pengelola Hospital UTAR bagi pihak UTAR Education Foundation

Kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan UTAR T&CM Centre (yang dimiliki sepenuhnya oleh UTAR Education Foundation) dalam penawaran perkhidmatan PT&K merupakan langkah yang strategik dan pragmatik dalam memperluaskan akses dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan PT&K yang selamat dan berkualiti kepada rakyat Malaysia. 

Langkah ini adalah selaras dengan Dasar PT&K Kebangsaan yang menekankan PT&K sebagai satu komponen yang penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara dan akan menyumbang dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia.

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
28 APRIL 2025 

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Timothy Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
e-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA
+