MIMOS hari ini mengumumkan pengoperasian MBI, sebuah platform neutral yang boleh dipercayai untuk perkhidmatan and inovasi digital merentasi pelbagai sektor.BUKIT JALIL, 29 April (Bernama) -- Dalam lonjakan besar ke arah pemerkasaan ekonomi digital Malaysia,
khususnya bagi menyokong inisiatif Aset Digital Kerajaan, MIMOS Berhad hari ini mengumumkan pengoperasian Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI), sebuah platform neutral yang boleh dipercayai untuk perkhidmatan dan inovasi digital merentasi pelbagai sektor. Ini menjadikan ia satu detik bersejarah dalam kemajuan teknologi negara apabila
MBI muncul sebagai inovasi strategik dan menjadi komponen utama dalam Pelan Hala Tuju Blockchain Kebangsaan serta selari dengan visi Malaysia MADANI. MBI dibangunkan untuk menjadi pemangkin kepada daya kreativiti, mewujudkan persekitaran di mana pembangun dan inovator dapat meneroka serta membangunkan aplikasi blockchain yang canggih, berimpak tinggi, dan transformasi rentas industri.
Penubuhan MBI merupakan pemangkin utama dalam kemajuan digital negara, yang dibangunkan khusus untuk menggalakkan
integrasi digital mampan dan menyokong pembinaan
infrastruktur digital kebangsaan yang menyeluruh dan bersedia untuk masa hadapan. Inisiatif ini
dipacu oleh MIMOS melalui kerjasama strategik bersama rakan dan penyumbang utama, MyEG, yang menzahirkan
komitmen bersama dalam mempercepatkan agenda transformasi digital dan inovasi negara.
MBI turut menawarkan penyeragaman menyeluruh bagi pelbagai aset digital, termasuk kelayakan boleh disahkan (
verifiable credentials) MyDigitalID, token tidak boleh ditukar ganti (NFT), dan aplikasi kewangan terdesentralisasi (DeFi), sekali gus
meningkatkan akses kepada teknologi blockchain dengan mempermudah pengalaman pengguna dan membolehkan penyertaan lebih meluas dalam kalangan pengguna bukan teknikal. Rakan pemain industri peneraju awal seperti Masverse, Cokeeps, iTrace, Heitech dan lain-lain akan mula menggunakan MBI untuk melaksanakan penyelesaian dalam bidang keterkesanan rantaian bekalan, identiti digital, jagaan aset digital, dan pengewangan token atau tokenisation dalam sektor awam dan swasta. Penyelesaian seperti MyDigitalID akan mendapat manfaat daripada keupayaan bersepadu MBI yang menjamin keboleh-sahihan, kebolehcapaian dan interoperabiliti untuk menyokong pelbagai kegunaan, daripada pendaftaran fizikal di tapak (on-site) hingga pengesahan perkhidmatan rentas-sempadan dan komersial yang kompleks.
Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan inovasi dan keterhubungan antara platform, memperkukuh keselamatan transaksi terdesentralisasi, memacu ekonomi digital yang inklusif, serta memastikan tahap keselamatan dan ketelusan digital yang lebih tinggi, sekali gus menjadikan teknologi blockchain lebih mudah diakses dan memacu inovasi merentas semua sektor.
Berpandukan nilai-nilai teras MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, MBI mentakrifkan semula cara kita berinteraksi dengan teknologi rantaian blok (blockchain). Dengan menyediakan akses bersatu merentasi pelbagai platform, MBI mempermudah transaksi rentas rantai, sekali gus menghapuskan kerumitan mengendalikan sistem yang berbeza- beza.
Dr Saat Shukri Embong, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS berkata, “MBI akan meningkatkan daya saing negara, meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penerimagunaan dan pembangunan teknologi blockchain, sekali gus boleh menarik pelaburan serta bakat berkemahiran tinggi. Lebih penting lagi, MBI melambangkan keterangkuman digital dengan menjadikan teknologi blockchain dapat diakses oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap kepakaran teknikal mereka. Pendekatan yang diselaraskan ini meningkatkan kecairan (liquidity) dengan menggabungkan sumber daripada pelbagai platform, membolehkan perdagangan yang lebih pantas, cekap dan menjimatkan kos. Sebagai pemangkin transformasi digital negara, MBI bukan sahaja memacu kemajuan teknologi, malah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia dan kemakmuran negara secara menyeluruh. Platform ini mencerminkan komitmen MIMOS, MOSTI dan Kerajaan MADANI dalam memastikan manfaat teknologi transformatif ini dikongsi secara saksama, demi menjana pertumbuhan ekonomi mampan dan kemajuan sosial.”
Sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan negara,
MIMOS memainkan peranan penting dalam memacu penerimagunaan teknologi blockchain. MBI bertujuan
menangani cabaran ekosistem yang berpecah-pecah dengan
menyatukan pelbagai platform. Ia menggunakan
Zetrix sebagai rantaian teras, berfungsi seiring dengan rantaian awam lain seperti Ethereum, Solana, serta Blockchain Persendirian untuk mewujudkan satu antara muka (
interface) yang seragam.
Semua pihak berkepentingan,
termasuk industri, penyelidik, dan pembuat dasar, perlu untuk terus mengekalkan semangat kolaborasi yang kukuh dalam merealisasikan inisiatif ini. Kerjasama erat antara sektor awam dan swasta adalah kunci utama bagi Malaysia dalam membangunkan ekosistem
blockchain yang inklusif, mampan, dan berdaya tahan di peringkat serantau.
Mengenai MIMOS BerhadMIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan 2,000 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa.
Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (Advanced Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi.
Sumber: MIMOS Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Patricia Liew
Pengurus Komunikasi Korporat
Emel: patricia.liew@mimos.my
Nama: Nurazuin Wahab
Penolong Pengurus Komunikasi Korporat
Emel: Nurazuin.wahab@mimos.myPENAFIAN: BERNAMA MREM tidak bertanggungjawab atas sebarang sebab penodaan laman web, penyalahgunaan, atau aktiviti haram yang berkaitan dengan mata wang kripto, rantaian blok, tokenisasi, atau bitcoin. Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai panduan atau pendapat, kerana ia bukan nasihat kewangan atau pelaburan. Gunakan maklumat ini atas risiko anda sendiri; kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penerbitan semula artikel ini. --BERNAMA