TOURISM MALAYSIA RANCAKKAN KOLABORASI KEMPEN VM2026 BERSAMA PENGGIAT INDUSTRI DI KEDAH

Rabu 30/04/2025

ALOR SETAR, 30 April (Bernama) -- Tourism Malaysia hari ini menganjurkan Sesi Libat Urus bersama para penggiat industri pelancongan negeri Kedah dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik ke arah menjayakan perencanaan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
 
Kedah menjadi negeri ketiga bagi penganjuran sesi tersebut di Zon Utara selepas inisiatif berkenaan mula digerakkan pada awal tahun ini di beberapa buah negeri seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis. Program berkenaan juga merupakan kesinambungan kepada pelancaran logo, lagu, video promosi dan maskot rasmi VM2026 yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 6 Januari lalu.
 
Selain menjadi medan perkongsian untuk membincangkan pelan strategik ke arah menjayakan VM2026, terdapat juga beberapa siri pembentangan melibatkan Geran Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC) dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) oleh Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta sesi bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Jabatan Warisan Negara dan Islamic Tourism Centre (ITC).
 
Program dirasmikan oleh YBrs. Encik Junaidi Abdul Rani @Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah dan turut dihadiri oleh Encik Shahrin Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia. Hadir sama ialah wakil-wakil daripada agensi kerajaan, persatuan pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan dan ejen pelancongan tempatan.
 
Encik Shahrin berkata, seiring dengan aspirasi VM2026 yang menyasarkan ketibaan pelawat berpendapatan tinggi selain mempromosikan kebudayaan serta kelestarian sektor pelancongan negara, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperlukan bagi menjayakan kempen tersebut.

“Pada tahun 2025, Malaysia menyasarkan ketibaan pelawat asing seramai 45.0 juta dengan pulangan hasil pelancongan sebanyak RM270 bilion. Setakat Februari 2025, seramai 6.7 juta ketibaan pelawat asing direkodkan melibatkan peningkatan sebanyak 31.3% berbanding tempoh sama pada tahun 2024 dan kenaikan 14.5% berbanding tempoh sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik). 

“Perkembangan positif ini juga merupakan rentetan daripada rekod ketibaan 38 juta pelawat asing ke Malaysia pada tahun 2024 yang menyaksikan lonjakan sebanyak 31.1% berbanding tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 8.3% berbanding tahun 2019,” katanya.

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di FacebookInstagramXYouTube, dan TikTok.

Sumber: Tourism Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Nor Azura Polit
Timbalan Pengarah 
Bahagian Perancangan Strategik
Tel: +603 8891 8166
E-mel: norazurapolit@tourism.gov.my

Nama: Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8775
E-mel: norshariza@tourism.gov.my 

--BERNAMA

+