LANGKAWI, 5 Mei (Bernama) -- Tourism Malaysia meneruskan inisiatif memperkukuh kesiapsiagaan industri pelancongan negara menerusi penganjuran Sesi Libat Urus Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang berlangsung di PARKROYAL Langkawi Resort pada 4 Mei 2025.
Sesi yang melibatkan penggiat industri pelancongan ini menumpukan usaha ke arah merancakkan pelaksanaan strategi promosi, pemantapan produk pelancongan serta pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi menyokong matlamat TMM2026.
Sesi ini dirasmikan oleh YBrs. Encik Junaidi Abdul Rani @Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, bersama Encik Shahrin Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia dan YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta disertai oleh wakil-wakil agensi kerajaan, persatuan pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan, dan ejen pelancongan tempatan.
Encik Shahrin Mokhtar berkata, pemilihan tema ‘Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya’ bagi TMM2026 mencerminkan aspirasi negara untuk memposisikan Malaysia sebagai destinasi eksklusif yang menyeimbangkan pembangunan pelancongan dan pemeliharaan warisan alam serta budaya.
"Pulau Langkawi merupakan destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, pantai yang mempesona, serta kepelbagaian flora dan fauna yang unik. Selain diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark, Langkawi juga telah lama dikenali sebagai destinasi pelancongan unggul yang menitikberatkan nilainilai kelestarian,” katanya.
Komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kedah dalam memperkukuh inisiatif pelancongan hijau terus menjadikan Langkawi antara destinasi utama dalam menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Antara usaha yang dilaksanakan termasuk pemuliharaan kawasan alam sekitar, penjenamaan semula produk pelancongan sedia ada, serta galakan terhadap aktiviti berteraskan kelestarian bagi memperkayakan pengalaman pelancong di pulau ini.
Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, Langkawi diyakini akan terus menjadi aset strategik dalam menjayakan TMM2026, menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama yang lestari, dan berdaya tahan.
Tourism MalaysiaLembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di
Facebook, Instagram, X, YouTube, dan
TikTok. SUMBER: Tourism MalaysiaUNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nor Azura Polit
Timbalan Pengarah
Bahagian Perancangan Strategik
e-mel: norazurapolit@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8166
Nama: Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
e-mel: norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775
--BERNAMA