AT&S memulakan Pembuatan Volum Tinggi di kilang baharu di Kulim/Malaysia

Isnin 05/05/2025

Table
(Dari kiri ke kanan): Naib Presiden Eksekutif Unit Bisnes Mikroelektronik & Ahli Lembaga Pengarah, Ingolf Schroeder, dan Naib Presiden Kanan & Pengarah Urusan, Pengurusan Negara Malaysia, Suan See Yap, di Sidang Media Pengumuman Permulaan Pembuatan pada 5 Mei 2025.
 


AT&S, salah satu pengeluar utama dunia bagi Substrat Litar Bersepadu (IC) dan PCB berkualiti tinggi, dengan bangganya mengumumkan bahawa kilang pengeluaran baharu di Kulim Hi-Tech Park, Malaysia, kini bersedia untuk pembuatan volum tinggi. Pelanggan baharu, teknologi baharu dan tumpuan kepada projek R&D akan mengukuhkan perkembangan ekonomi Malaysia selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional.
 
LEOBEN, 5 Mei (Bernama) -- AT&S Austria Technologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd kini bersedia untuk memulakan pembuatan volum tinggi di kampus baharu terletak di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah. AT&S Malaysia membekalkan Substrat Litar Bersepadu (IC) berkualiti tinggi untuk pemproses pusat data AMD dan pelanggan lain.

Kampus baharu di Kulim, yang terletak kira-kira 350 kilometer utara dari ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur, telah berjaya disiapkan dalam masa yang singkat. “Kampus AT&S baharu dibina dalam jangka masa dua tahun sahaja. Setahun kemudian kami bersedia untuk memulakan pengeluaran volum tinggi”, kata Ingolf Schroeder, Naib Presiden Eksekutif Unit Bisnes Mikroelektronik di AT&S. “Kejayaan ini mungkin merupakan satu rekod dunia baharu. Memulakan pengeluaran volum tinggi bukan sahaja satu kejayaan untuk AT&S tetapi juga satu langkah yang penting bagi Malaysia. Dengan memperkenalkan teknologi substrat IC yang canggih ke Kulim, kami akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan teknologi Malaysia dengan cara yang mampan. AT&S berada di landasan untuk menjadi salah satu daripada tiga pembekal substrat IC teratas di seluruh dunia dan Kulim akan memainkan peranan yang penting kepada perkembangan kami dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di rantau Asia Tenggara”.

AT&S kini boleh memperoleh manfaat daripada pembentukan “Segi Tiga Substrat” ​​bersepadu yang baharu, yang terdiri daripada kilangnya di Chongqing/China, Kulim/Malaysia dan Leoben/Austria. “Pengetahuan, teknologi dan penyelidikan di lokasi ini sentiasa dikongsi dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, membantu ketiga-tiga kilang mencapai potensi penuh mereka.”
 
Pengeluaran substrat AT&S untuk AMD di Kampus Kulim dijangka berkembang dengan kukuh berikutan dengan peningkatan permintaan untuk CPU dan GPU untuk pusat data, teknologi AI, VR dan AR. Dengan jangkaan peningkatan eksponen dalam jumlah data global, permintaan untuk penyimpanan, penghantaran dan analisis data kekal tinggi. AT&S adalah rakan kongsi teknologi yang amat dicari dan jumlah bilangan pelanggan untuk kilang Kulim dijangka berkembang dengan ketara, dengan kehadiran pelanggan berprofil tinggi yang menyertai pada tahun kewangan ini.
 
Infrastruktur yang cemerlang dan kumpulan bakat yang luas di Kulim akan menjadikan rancangan pengembangan kilang pada masa hadapan senang untuk dicapai. Buat masa ini, AT&S Malaysia mempunyai kira-kira 1,500 pekerja. Sejak penubuhannya, RM 600 juta telah dilaburkan dalam bidang penyelidikan dan lebih 5,000 pelajar telah melawati Jerayawara Penjenamaan Majikan (Employer Branding Roadshow) anjuran AT&S. AT&S turut bekerjasama rapat dengan CREST (Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains & Teknologi), dan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) sebagai sebahagian daripada Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia. “Kami telah menyumbang dalam skala yang besar kepada ekosistem teknologi Malaysia. Pembuatan berkualiti tinggi memerlukan pelaburan yang besar dan kami gembira dengan hubungan perkongsian yang kukuh dan boleh dipercayai dengan institusi tempatan. Kami akan mencipta masa depan mikroelektronik bersama”, kata Ingolf Schroeder.
 
Sehingga kini, kira-kira RM 5 Bilion (1 Bilion EUR) telah dilaburkan dalam kilang dan bangunan pentadbiran untuk keseluruhan Kampus Kulim. Di kilang 1, AT&S menghasilkan substrat canggih untuk syarikat semikonduktor terkenal AMD. Keluasan kasar lantai sekitar 255,000 meter persegi, dilengkapi dengan kira-kira 500 mesin berteknologi tinggi.
 ​
“Usaha ini merupakan pencapaian penting dalam sejarah AT&S, kerana kami telah berjaya mencapai penanda yang penting dalam pembuatan volum tinggi di Kampus Kulim. Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, pasukan di Kulim telah bekerja tanpa jemu untuk mendapatkan kelulusan produk, kilang dan pensijilan ISO yang diperlukan. Kami telah dianugerahkan status “Tapak HVM Bertauliah” oleh AMD dan berbangga dengan sumbangan kakitangan kami di Kulim. Mereka adalah pemacu di sebalik kejayaan ini,” kata Suan See Yap, Naib Presiden Kanan & Pengarah Urusan bagi Pengurusan Negara Malaysia.

AT&S Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft – Advanced Technologies & Solutions
AT&S merupakan pengeluar global terkemuka bagi substrat IC atasan dan papan litar bercetak. AT&S mengindustrikan teknologi termaju untuk segmen perniagaan teras peranti mudah alih & Substrat, automotif & aeroangkasa, industri perubatan serta pemproses berprestasi tinggi untuk aplikasi VR dan AI. AT&S mempunyai kehadiran global dengan tapak pengeluaran di Austria (Leoben, Fehring) serta kilang di India (Nanjangud) dan China (Shanghai, Chongqing). Kemudahan pengeluaran peringkat tinggi yang baharu untuk substrat IC kini sedang dipertingkatkan di Malaysia (Kulim). Di Leoben, pusat kecekapan Eropah termasuk pengeluaran siri untuk teknologi substrat IC telah dibina. Kedua-dua tapak telah memulakan pengeluaran pada tahun kewangan 2024/25. Syarikat ini kini menggaji 13,000 orang. Untuk maklumat lanjut sila layari www.ats.net

SUMBER: AT&S Austria Tecnologie & Systemtechnik (Malaysia) Sdn Bhd​

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Hubungan media:
Nama: Gerald Reischl
Vice President Corporate Communications
Tel: +43 3842 200 4252 / Mobile: +43 664 8859 2452
E-mel: g.reischl@ats.net
 
Nama: Ruth Foo
Senior Communications Manager, Malaysia
Tel: +6012 8922883
E-mel: ruth.foo@my.ats.net 

--BERNAMA
 
 
+