Selasa 06/05/2025
UOB Plaza 1 KL
KUALA LUMPUR, Malaysia, 6 Mei (Bernama) -- UOB Malaysia melaporkan keuntungan bersih sebelum cukai tertingginya sebanyak RM2.2 bilion dan jumlah pendapatan operasi RM4.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2024. Keuntungan bersih sebelum cukai Bank meningkat 15.9 peratus (2023: RM1.9 bilion), manakala pendapatan operasi mencatat kenaikan 2.3 peratus (2023: RM4.6 bilion). Prestasi kewangan Bank untuk 2024 telah dinyatakan dalam Laporan Tahunan 2024, yang dikeluarkan hari ini.
Peningkatan dalam pendapatan operasi adalah bersandarkan pertumbuhan yang stabil dalam semua aliran pendapatan, termasuk pendapatan faedah bersih, perbankan Islam, keuntungan pertukaran asing bersih, serta fi dan komisen. Sementara itu, jumlah perbelanjaan menurun sebanyak RM22 juta berikutan pengurusan kos yang berdisiplin, manakala jumlah elaun untuk jangkaan kerugian kredit menurun dengan ketara sebanyak 52.1 peratus kepada RM159 juta dengan kualiti aset yang lebih baik dan peruntukan yang lebih rendah untuk kedua-dua aset terjejas dan tidak terjejas.
Pada 2024, pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar UOB Malaysia meningkat 2.1 peratus kepada RM109.5 bilion (2023: RM107.2 bilion), disebabkan oleh pertumbuhan yang stabil dalam kedua-dua segmen Borong dan Runcitnya. Dalam usaha mengukuhkan penyata imbangannya, Bank terus memberi tumpuan pada pengembangan dan pengekalan deposit berkualiti. Ini telah membawa kepada nisbah akaun simpanan dan akaun semasa (CASA) yang lebih tinggi, iaitu melebihi 44%.
Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Kami berbesar hati melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan yang kukuh, dengan keuntungan bersih sebelum cukai paling tinggi, iaitu sebanyak RM2.2 bilion. Pencapaian ini menunjukkan kekuatan model perniagaan terpelbagai kami, disokong oleh pengurusan risiko yang berhemat, kawalan kos yang berdisiplin serta prestasi kukuh dalam semua perniagaan teras kami. Perniagaan Perbankan Borong kami telah mencatat kemajuan ketara dalam memajukan agenda kemampanan dan kesalinghubungan Bank, menyampaikan pertumbuhan dua angka dalam kedua-dua pembiayaan mampan dan pinjaman perdagangan. Hasil daripada aliran perdagangan yang baik, pendapatan Pasaran Global kami juga meningkat dengan kukuh, berikutan usaha kami dalam membantu pelanggan mengurus risiko kadar faedah dalam persekitaran yang tidak menentu. Selain itu, francais runcit kami yang lebih luas terus memberi momentum yang baik, terutamanya dalam perniagaan kad kredit dan pengurusan kekayaan, berikutan kejayaan penyepaduan perniagaan Perbankan Pengguna Citigroup.”
Kedudukan kredit yang kukuh dan prospek yang stabil Bank juga disahkan melalui penarafan AAA oleh RAM Holdings Berhad (Kumpulan RAM), satu pencapaian yang kekal sejak 2012. Kedudukan modal juga terus kukuh, dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 sebanyak 16.0 peratus dan Nisbah Kecukupan Modal sebanyak 19.4 peratus, jauh melebihi keperluan kawal selia, justeru menyediakan penampan yang mencukupi bagi pertumbuhan masa hadapan.
UOB Malaysia sentiasa memanfaatkan rangkaian serantau dan kepakarannya, disokong oleh 11 pasukan Pelaburan Langsung Asing di seluruh Asia, untuk menghubungkan perniagaan kepada pelbagai peluang selain memacu pelaburan rentas sempadan. Sejajar dengan strategi ekonomi negara, Bank juga memberi sokongan kepada sektor pertumbuhan utama - daripada industri semikonduktor Pulau Pinang kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan tenaga boleh diperbaharui Sarawak, sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terpelbagai dan matlamat Kumpulan UOB untuk menjadi bank perdagangan rentas sempadan terkemuka menjelang 2026.
Dari segi kemampanan, UOB Malaysia terus aktif memperjuangkan pembiayaan mampan melalui rangka kerja komprehensif kami, disahkan oleh penyedia pendapat pihak kedua antarabangsa yang berwibawa. Sebagai bukti komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasinya, ibu pejabat UOB Malaysia, iaitu UOB Plaza 1 Kuala Lumpur, telah menerima anugerah bangunan paling cekap tenaga di Anugerah Tenaga Nasional 2024 dan Anugerah Tenaga ASEAN 2024.
Diiktiraf kerana kestabilan jangka panjang, inovasi dalam teknologi dan kecemerlangan dalam perkhidmatan, UOB Malaysia telah dinobat Bank Terbaik Malaysia pada Anugerah Bank Terbaik Dunia 2025 – Asia Pasifik tahunan yang ke-32 oleh Global Finance pada Mac 2025. Bank juga diiktiraf sebagai Bank Terbaik dan Bank Mampan Terbaik di Malaysia untuk Kategori Antarabangsa (2025) oleh FinanceAsia.
Laporan Tahunan UOB Malaysia 2024 boleh didapati di uob.my/stakeholders/annual/annual.page.
SUMBER: UOB Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nizam Arop
Brand, Media and Communications
Tel: 603- 2638 6304 / 6017-333 6329
E-mel: nizam.arop@uob.com.my
Nama: Sharie Elina Ibrahim
Brand, Media and Communications
Tel: 603-2638 6589 / 6012-682 6300
E-mel: sharie.elina@uob.com.my
--BERNAMA