SITUASI SEMASA BERHUBUNG PENYAKIT TANGAN, KAKI, DAN MULUT (HFMD) DI MALAYSIA

Selasa 13/05/2025

PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai situasi semasa penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 tahun 2025 (ME 17/2025).
 
Sebanyak 99,601 kes HFMD dilaporkan berbanding 27,236 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 266 peratus. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,421 kes (10 peratus) adalah berkaitan wabak, manakala 89,180 kes (90 peratus) merupakan kes yang berlaku secara sporadik. Lima (5) negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu Selangor dengan 27,118 kes (27.2 peratus) diikuti Johor dengan 9,864 kes (9.9 peratus), Perak dengan 9,347 kes (9.4 peratus), Kelantan dengan 7,147 kes (7.2 peratus) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,850 kes (6.9 peratus).
 
Secara kumulatif, terdapat 2,649 wabak berbanding 1,339 wabak bagi tempoh yang sama pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 49 peratus. Daripada keseluruhan wabak ini, sebanyak 578 berlaku di taska (22 peratus), 480 di tadika (18 peratus), 292 di tabika (11 peratus), dan 251 di pra-sekolah (9 peratus). Setakat ini, tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan. 
 
Sebanyak 38,285 premis telah diperiksa di seluruh negara melibatkan taska, tadika, tabika, pra-sekolah dan rumah kediaman. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,140 (3 peratus) premis telah diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], manakala 430 (1 peratus) premis lagi ditutup secara sukarela. Di samping itu, sebanyak 220 sesi townhall dan taklimat telah dilaksanakan di seluruh negara oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk memberi pendidikan kesihatan bagi membendung penularan HFMD. 
 
Selaras dengan hasrat dan inisiatif Kerajaan MADANI melalui ‘Kesejahteraan’, KKM akan sentiasa memberikan maklumat berinformasi sebagai antara mekanisme perkongsian agar rakyat terus bersama dalam mencegah dan membendung sebarang situasi wabak bukan sahaja HFMD. Selain itu, perkongsian maklumat ini perlu disebarluaskan sebagai memenuhi ‘Ihsan’ sesama masyarakat tidak mengira apa jua latar belakang pendidikan mahupun sosioekonomi.
 
Ibu bapa dan penjaga disaran mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, serta memastikan permainan, bilik air, dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air, atau cecair disinfeksi. Barangan peribadi seperti cawan, tuala, dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD.
 
KKM juga terus memantau perkembangan terkini situasi berhubung HFMD. Maklumat lanjut berkaitan HFMD boleh dicapai di laman infosihat.moh.gov.my dan facebook KKM.
 
Dikeluarkan oleh 
BAHAGIAN KAWALAN PENYAKIT
Melalui 
Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
12 MEI 2025 

Sila klik di sini untuk lampiran: Infografik HFMD

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Timothy Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia 
E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my

--BERNAMA
+