KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- UOB Malaysia menjemput para pelukis mapan dan baru muncul untuk mengubah idea yang mencetus pemikiran mereka menjadi karya seni yang menakjubkan dalam edisi ke-15 pertandingan UOB Painting of the Year (POY) (Malaysia).
Pertandingan UOB POY merupakan salah satu pertandingan seni tahunan paling berprestij di rantau ini yang dijalankan secara serentak di Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam. Dilancarkan di Malaysia pada 2011, pertandingan itu menawarkan antara hadiah wang tunai paling tinggi di negara ini.
Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia berkata, “UOB Malaysia telah membantu komuniti seni tempatan secara aktif selama lebih 15 tahun, sekali gus memperkasakan hampir 150 pelukis tempatan untuk berjaya dan berkembang maju dalam perjalanan kreatif mereka. Pertandingan Painting of the Year ini merupakan platform penting untuk mencungkil bakat seni tempatan, dan kami kekal komited menyokong pembangunan industri kreatif di Malaysia.”
Melangkaui pertandingan ini, Bank menyediakan peluang kepada pelukis tempatan untuk mendapat pendedahan dan pengiktirafan antarabangsa. Sebagai contoh, Bank telah membantu pemenang 2016 UOB POY, Yim Yen Sum, mempamerkan karya beliau di pameran ‘Art Central Hong Kong 2024’ dan ‘Indian Ocean Craft Triennial 2024’ di Australia. Pada tahun lepas, UOB Malaysia turut menaja pameran antarabangsa pertama Ahmad Syakir Hashim, Pemenang Anugerah Emas 2023 dalam kategori Pelukis Baru, di UOB Art Space di Art Jakarta.
Penyertaan kini dibuka untuk pertandingan UOB POY (Malaysia) ke-15Pertandingan UOB POY (Malaysia) dibuka kepada semua warganegara Malaysia dan pemastautin tetap. Permohonan perlu dilakukan secara dalam talian melalui UOBandArt.com selewat-lewatnya pada 31 Julai 2025.
Pertandingan 2025 UOB POY (Malaysia) akan menampilkan panel hakim baharu, termasuk:
1. Puan Intan Rafiza, Artis dan Kurator, Pengarah Bahagian Konservasi, Balai Seni Negara, Malaysia.
2. Encik Khai Hori, Kurator, Pengarah dan Rakan Kongsi di Chan + Hori Contemporary, sebuah galeri seni kontemporari yang memberi tumpuan kepada penyusunan dan pameran seni visual yang merangsang pemikiran di Singapura.
3. Encik Kow Leong Kiang, pelukis terkenal Malaysia, yang telah mempamerkan karya seni beliau secara global di Taiwan, Indonesia, Singapura dan United Kingdom.
Para pemenang pertandingan 2025 UOB POY (Malaysia) akan diumumkan di suatu majlis anugerah pada September 2025. Pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000 dan juga dapat bersaing untuk anugerah serantau 2025 UOB Painting of the Year Asia Tenggara.
Pemenang anugerah serantau pula akan menerima hadiah tambahan bernilai S$13,000 di samping berpeluang menghadiri program residensi di luar negara. Selain itu, semua pemenang akan mendapat akses kepada Rangkaian Alumni Pelukis UOB, yang menambahkan lagi sokongan jangka panjang UOB untuk para pelukis melalui pameran karya seni di platform terkemuka, komisen karya seni untuk paparan atau lelongan, program residensi pelukis di luar negara serta peluang perangkaian dan keterlibatan dengan rakan sebaya dan peneraju dalam komuniti seni.
SUMBER: UOB Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Putri Faralisa Sofea Adril
Brand, Media and Communications
Tel: 6016-6642346
Emel: putrifaralisasofeaadril.bintiabduljalil@uob.com.my
Nama: Sharie Elina Ibrahim
Brand, Media and Communications
Tel: 603-2638 6589/ 6012-682 6300
Emel: sharie.elina@uob.com.my
--BERNAMA