MAKLUMAN PRODUK KOSMETIK YANG DIKESAN MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

Jumaat 16/05/2025

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual seperti di bawah:
 
Bil.Nama ProdukRacun Berjadual Yang Dikesan
1.1HEBE - MICRO RESCUE CREAM (REDUCE ACNE SCAR)Clindamycin dan Metronidazole
1.2CLOROC REJU CREAMTretinoin dan Betamethasone 17-valerate

Susulan daripada itu, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

Produk yang mengandungi clindamycin, metronidazole, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan. Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti berikut:
 
Racun BerjadualKesan Sampingan
Clindamycin dan MetronidazolePenggunaan antibiotik (clindamycin dan metronidazole) tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan mudarat kepada kesihatan dan boleh meningkatkan risiko kerintangan yang seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan.
TretinoinBahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Betamethasone 17-ValerateBahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK KOSMETIK INI

Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

KKM akan terus memberikan maklumat dan nasihat berhubung perkara seumpama ini demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terjaga. Ini adalah selaras dengan konsep MADANI merangkumi kemampanan hidup masyarakat Malaysia untuk lebih berpengetahuan tentang satu-satu produk kesihatan, kesejahteraan yang merujuk kepada kesihatan menyeluruh, keyakinan merujuk kepada inisiatif KKM memberikan maklumat tepat agar rakyat lebih memilih dan seterusnya berkeyakinan dalam menggunakan produk kesihatan yang sah dan ihsan yakni memastikan kita saling mengingatkan akan penggunaan bahan-bahan kesihatan mahupun kecantikan.

LAMPIRAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA

+