PCG MENUNJUKKAN KETAHANAN MELALUI KEKUATAN KEPELBAGAIAN PORTFOLIO

Selasa 20/05/2025


• Kadar Penggunaan Loji pada 94%
• Pendapatan sebanyak RM7.7 bilion
• EBITDA sebanyak RM892 juta


KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG atau Kumpulan) hari ini mengumumkan keputusan kewangan bagi suku pertama (1Q 2025) tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, di sebalik keadaan pasaran kimia yang kian mencabar.

Kumpulan mengekalkan prestasi operasi yang kukuh dengan kadar penggunaan loji sebanyak 94% pada 1Q 2025, hampir setara pada 4Q 2024. Pendapatan meningkat sebanyak 3% suku-ke-suku kepada RM7.7 bilion, dipacu oleh harga purata yang lebih tinggi bagi urea, metanol dan polietilena serta prestasi jualan yang lebih baik dalam segmen kimia khusus. Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) melonjak 26% kepada RM892 juta, disokong oleh penyebaran produk yang lebih baik bagi urea, metanol, metil tert-butil eter (MTBE) dan derivatif olefin, serta kos operasi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, Keuntungan Selepas Cukai (PAT) menurun kepada RM18 juta berbanding RM539 juta pada suku sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh pergerakan kadar pertukaran asing yang tidak menguntungkan.

Sepanjang suku ini, segmen Olefin & Derivatif (O&D) berjaya mengatasi gangguan bekalan utiliti yang menjejaskan beberapa loji di Kertih, serta pengurangan pengeluaran di Pengerang Petrochemicals Company Sdn. Bhd. (PPC) akibat kekurangan stok suapan. Gabungan isu-isu luaran ini dengan kenaikan harga produk yang terhad di tengah-tengah lebihan bekalan industri, menyebabkan pendapatan sukuan bahagian O&D menurun 4% kepada RM3.5 bilion. Bahagian ini mencatatkan Kerugian Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (LBITDA) sebanyak RM43 juta, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada PPC akibat pengurangan kadar penggunaan loji serta kerugian pertukaran mata wang asing tidak direalisasi daripada penilaian semula pemiutang.

Segmen Baja & Metanol (F&M) Kumpulan mencatatkan peningkatan keseluruhan dalam jualan dan pendapatan, disokong oleh harga purata produk yang lebih kukuh walaupun terdapat sedikit penurunan jumlah jualan. Bekalan global yang terhad serta permintaan bermusim yang kukuh telah mendorong kenaikan harga sekitar 13% bagi urea dan 5% bagi metanol. Bahagian F&M merekodkan pendapatan sukuan yang lebih tinggi sebanyak RM2.5 bilion, manakala EBITDA meningkat 22% suku-ke -suku kepada RM892 juta hasil daripada penyebaran produk yang lebih baik.

Segmen kimia khusus pula mencatatkan peningkatan jualan merentas semua kategori produk, dengan peningkatan ketara melalui produk Oxo berikutan aktiviti pengisian semula stok pasaran. Walaupun harga jualan purata lebih rendah, pendapatan bahagian ini meningkat 19% kepada RM1.6 bilion berbanding suku sebelumnya, disokong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi. EBITDA turut meningkat kepada RM52 juta, dipacu oleh margin sumbangan yang lebih kukuh dan peningkatan jumlah jualan.

Sorotan utama 1Q 2025 berbanding 4Q 2024:

• Kadar penggunaan loji purata Kumpulan dicatatkan pada 94% (4Q 2024: 95%) dipacu oleh prestasi kukuh dalam segmen F&M.
• Pendapatan meningkat 3% kepada RM7.7 bilion (4Q 2024: RM7.5 bilion) hasil daripada harga purata produk dan jumlah jualan yang lebih tinggi dalam segmen kimia khusus.
• EBITDA meningkat 26% kepada RM892 juta (4Q 2024: RM710 juta) disebabkan oleh penyebaran produk yang lebih baik dan kos operasi yang lebih rendah.
• PAT menurun kepada RM18 juta (4Q 2024: RM539 juta) disebabkan oleh kesan pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPC dan pinjaman segmen kimia khusus

Mengulas mengenai prestasi 1Q 2025, Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG berkata, “Ketahanan kami dalam mengharungi keadaan pasaran yang mencabar membuktikan kekuatan kepelbagaian portfolio. Peningkatan EBITDA mencerminkan usaha berterusan kami dalam mencapai kecemerlangan operasi dengan kadar penggunaan loji perniagaan komoditi yang baik, walaupun terdapat gangguan pada Januari 2025 yang menjejaskan operasi untuk sementara waktu di beberapa loji di Kertih.”

Berkenaan implikasi tarif AS terhadap PCG, beliau berkata, “Kami sedang memantau keadaan ini dengan teliti dan menilai kesanyang lebih luas terhadap keseluruhan pergerakan pasaran.”

“Bagi mengekalkan ketahanan dan daya saing dalam kemerosotan industri semasa, kami terus menumpukan untuk memacu kecemerlangan. Komitmen kami terhadap keselamatan dan kecekapan operasi semua fasiliti kami akan diteruskan dengan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan di beberapa loji O&D serta F&M yang sedang giat dijalankan. Pada masa yang sama, kami memperkukuh hubungan pelanggan untuk memenuhi keperluan mereka yang semakin berkembang, disamping mengekalkan disiplin kewangan yang ketat serta perbelanjaan modal yang berhemat,” akhirinya.

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad

PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan lebih 16 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia, produk derivatif dan bahan kimia khusus.

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan empat dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.

PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Dow Jones Best-in-Class Indices.

Maklumat lanjut berkenaan PCG boleh didapati di www.petronaschemicals.com.my

Dikeluarkan oleh
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG)

SUMBER: PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG)


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Yogeswari Thangavelu 
Tel: +(6) 017 2000919 
E-mel: yogeswari.thangavel@petronas.com

--BERNAMA


 

+