SEPANG, 20 Mei (Bernama) -- SIRIM Berhad, peneraju inovasi dan kualiti Malaysia, meraikan Hari Metrologi Sedunia dengan penganjuran simposium di Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), Sepang hari ini. Simposium ini mengumpulkan profesional, pakar industri dan penyelidik untuk meneroka kemajuan dalam pengukuran, penuntukuran dan teknologi yang pesat berkembang. Tema Hari Metrologi Sedunia (WWD) 2025, "Measurements for All Times, for All People" juga menandakan ulang tahun ke-150 Konvensyen Meter.
Simposium ini menampilkan pembentangan daripada pakar-pakar terkemuka yang merupakan platform interaktif untuk perbincangan panel bersama pihak kawal selia. Para peserta juga mendapat peluang eksklusif untuk menerokai kemudahan pengukuran di Malaysia, sekali gus memperoleh pengetahuan berharga dan berpeluang untuk berhubung dengan rakan industri.
Simposium Hari Metrologi Sedunia 2025 dirasmikan oleh Dato' Ir. Prof. Dr. Norlida Buniyamin, Pengerusi Majlis Pengukuran Kebangsaan (MPK). Turut hadir Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato' Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad dan Dr. Faridah Hussain, Ketua Metrologist, NMIM.
Dato' Ir. Prof. Dr. Norlida Buniyamin berkata kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi bergantung kepada keupayaan sesebuah negara untuk membangun, menghasilkan dan memasarkan kualiti produk serta perkhidmatan yang baik.
"NMIM telah membangunkan lima standard pengukuran baharu dan melahirkan lebih daripada 10 pakar dalam usaha memperluaskan kebolehkesanan pengukuran untuk pelbagai sektor industri seperti E&E, aeroangkasa, automotif, pembuatan, logam, seramik dan kaca. Dengan piawaian pengukuran yang ditetapkan, NMIM bukan sahaja menyokong industri tetapi turut membuka peluang perniagaan bagi Malaysia dalam rantaian bekalan perkhidmatan antarabangsa."
Dato' Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad juga berkata, sebagai pihak berkuasa pengukuran Malaysia, NMIM akan terus menjaga piawaian kebangsaan dan penentukuran di bawah undang-undang 2007. Dengan kerjasama di peringkat global, usaha ini memastikan pengukuran yang tepat untuk perdagangan, industri dan perlindungan pengguna.
"NMIM akan terus mempromosikan dan memperluaskan parameter pengukuran serta teknologi di negara ini, termasuk menyediakan perkhidmatan penentukuran bagi standard pengukuran dengan ketepatan tinggi, perkhidmatan perundingan untuk projek pengukuran khusus, serta menyediakan program kemahiran metrologi berkaitan teknik pengukuran."
SIRIM percaya bahawa pengukuran yang tepat dan boleh dipercayai merupakan asas kepada kemajuan teknologi, pembangunan ekonomi dan keselamatan awam. SIRIM komited untuk menyokong industri dalam usaha mereka mencapai standard yang lebih tinggi, kawalan kualiti yang lebih baik, serta inovasi melalui teknik pengukuran yang canggih.
MENGENAI SIRIM SIRIM Berhad, anak syarikat Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah organisasi peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti yang memberi tumpuan kepada Penyelidikan Perindustrian, Pembangunan Teknologi dan Pengkomersilan; Pensijilan, Pengujian dan Pemeriksaan; Pengukuran dan Penentukuran; Latihan; Penyelidikan dan Pembangunan Standard; Keusahawanan berasaskan Teknologi; dan Perundingan Reka bentuk.
www.sirim.my Untuk berita terbaru, ikuti akaun Sosial Media SIRIM Berhad:
FacebookInstagramLinkedInTikTokYouTube SUMBER: SIRIM Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Mohamad Ariff Fahmy
Tel: 017 4637027
E-mel: fahmy@sirim.my
--BERNAMA