Selasa 20/05/2025
PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan Program Imunisasi Influenza Warga Emas yang menawarkan vaksin influenza secara percuma kepada warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik.
Sehingga kini, sebanyak 65.16% daripada dos vaksin influenza yang dibekalkan telah diterima oleh warga emas yang mempunyai komorbiditi.
Perkhidmatan ini disediakan di 649 buah Klinik Kesihatan (KK) terpilih di seluruh Malaysia. Vaksin diberikan secara percuma dan merangkumi kos vaksin, peralatan, serta khidmat kesihatan berkaitan. Janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera. Orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan, melayari portal rasmi atau media sosial KKM, atau hadir sendiri ke KK untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Bagi warga emas yang tidak mempunyai akses kepada MySejahtera, mereka boleh hadir secara fizikal atau walk-in ke KK yang tersenarai untuk pendaftaran dan mendapatkan suntikan, tertakluk kepada slot yang masih tersedia.
KKM menggalakkan warga emas yang hadir bagi rawatan susulan penyakit kronik di KK berkenaan agar mengambil inisiatif untuk mendapatkan maklumat dan bertanya berkenaan kelayakan menerima vaksin influenza secara percuma, sekiranya belum ditawarkan.
KKM menyeru semua warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik seperti diabetes, penyakit jantung, penyakit pernafasan kronik atau tekanan darah tinggi untuk mengambil peluang ini bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya menjelang musim jangkitan.
Langkah ini penting bagi mencegah komplikasi serius dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital akibat jangkitan influenza dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
Seruan ini merupakan advocacy berterusan sejajar dengan nilai MADANI iaitu Kesejahteraan dan Keyakinan juga Ihsan. KKM akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang mampan dan inklusif agar tiada pihak yang tercicir terutamanya mereka yang dalam golongan warga emas dan jauh dari pusat bandar.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk laman web rasmi KKM atau hadir terus ke Klinik Kesihatan yang terlibat.
#LindungiWargaEmas #VaksinInfluenzaKKM #SihatSejahtera
Oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit
Melalui
Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
20 Mei 2025
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my
--BERNAMA