29 INISIATIF RKB PACU LONJAKAN PRODUKTIVITI PAHANG

Rabu 21/05/2025

Table
Sesi libat urus dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, dengan taklimat disampaikan oleh Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail


KUANTAN, 21 Mei (Bernama) -- Usaha reformasi pentadbiran di Negeri Pahang kini diterjemahkan kepada impak yang nyata melalui pelaksanaan 29 inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang diselaraskan di bawah Program GovX Pahang 1st. Inisiatif ini bukan sahaja mempercepatkan penyampaian perkhidmatan, malah dijangka menjana peningkatan produktiviti sektor awam, memperkukuh keyakinan pelabur dan meningkatkan kepuasan rakyat.
 
Sesi libat urus yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri telah menekankan perlunya setiap inisiatif menyumbang kepada hasil yang boleh diukur, termasuk pengurangan masa urusan rasmi, peningkatan kadar penyelesaian aduan, dan pertumbuhan pelaburan domestik serta luar negara.
 
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), YBhg. Datuk Zahid Ismail dalam pembentangannya menegaskan bahawa pendekatan RKB di Pahang adalah pemangkin reformasi tadbir urus berimpak tinggi. Beliau memaklumkan bahawa setiap projek RKB dipantau rapi untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar menyelesaikan masalah utama yang membebankan perniagaan dan rakyat.
 
Antara hasil yang disasarkan termasuk:

• Pengurangan purata masa kelulusan permohonan permit perniagaan sebanyak 40% menjelang akhir tahun 2025.
• Peningkatan kepuasan pengguna perkhidmatan kerajaan negeri kepada sekurang-kurangnya 85% berdasarkan kaji selidik awam.
• Pemangkasan proses dalaman antara jabatan bagi mempercepat kelulusan dasar dan pelaksanaan projek pelaburan.
 
MPC dan Pejabat SUK Pahang turut membangunkan sistem pemantauan hasil (RoV - Return on Value) bagi mengukur impak langsung setiap intervensi. Hasil awal menunjukkan bahawa jabatan yang melaksanakan RKB telah mula menunjukkan penjimatan masa dan pengurangan beban pentadbiran sehingga 30%.
 
YB Dato’ Indera Nazri menutup sesi dengan penegasan bahawa reformasi ini bukan pilihan, tetapi keperluan bagi menjadikan pentadbiran negeri lebih responsif, cekap dan relevan. “Rakyat mengharapkan perubahan yang boleh dirasai. Kita bertanggungjawab untuk menyampaikan hasil yang bermakna,” katanya.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan lima teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti, membentuk ekosistem yang teguh dan memupuk minda produktif. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.  

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019- 7181804
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my

Nama: Mohd Azhar Zainuddin
E-mel: mohdazhar@mpc.gov.my

--BERNAMA

+