IKIM LANCAR 6 BUKU BAHARU, ANJUR 7 ACARA PENTAS SEMPENA PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (PBAKL 2025)

Isnin 26/05/2025

Table
Majlis Peluncuran Buku-buku terbaharu terbitan IKIM telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohd Yusof Hj. Othman dan turut disaksikan bersama Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pengarah IKIM;  Dr. Mohd Zaidi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah IKIM; serta para penulis buku di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025


KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Sempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang telah bermula pada 23 Mei 2025, sebanyak 6 buah buku baharu terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah dilancarkan manakala dua buah buku baharu lagi akan dilancarkan pada 27 Mei 2025 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
 
Enam karya baharu terbitan IKIM yang telah dilancarkan ialah Siri Infografik Hifz Al-Mal (Pengurusan Harta Keluarga Islam) yang terdiri daripada tiga tajuk iaitu Faraid, Pengurusan Harta Keluarga Islam dan Pentadbiran Harta Pusaka Kecil di Malaysia. Karya siri infografik ini amat penting bagi orang awam mendapatkan maklumat dari sudut panduan dan prosedur dalam pengurusan hal ehwal keluarga Islam. Buku lain yang turut dilancarkan ialah buku Pertanian: Perspektif Islam dan buku Siri Soal Jawab Kefahaman Islam: Akidah dan Pemikiran serta buku Islam Kepimpinan dan Strategi.
 
Majlis Pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hj. Mohd Yusof bin Othman, pada 25 Mei 2025, 1.00 petang – 2.00 petang di Pentas Utama PBAKL 2025, WTCKL.
 
Turut serta hadir ialah Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd. Zaidi bin Ismail, dan Pegawai Kanan IKIM.
 
Sementara itu, IKIM turut melancarkan 2 buah buku baharu iaitu Siri Pemerihalan Dasar Kerajaan (SPeeDK) IKIM: Sinergi Ilmuwan-Pemerintah dalam Merealisasikan Malaysia MADANI dan Siri Pemerihalan Dasar Kerajaan (SPeeDK) IKIM: Piagam Madinah Model Perpaduan Malaysia MADANI. Dua karya ini akan dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Naim bin Mokhtar di lokasi yang sama, pada 27 Mei 2025, jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

YB Menteri dijangka turut melancarkan buku-buku baharu terbitan agensi-agensi di Bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tabung Haji, Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), TV Alhijrah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Wakaf Malaysia.
 
Sempena PBAKL 2025 ini juga, IKIM turut menyajikan 7 acara pentas iaitu “Refleksi Buku” yang menampilkan diskusi buku-buku baharu terbitan IKIM oleh penulis buku itu sendiri. Acara bedah buku oleh penulis buku ini akan memberi peluang kepada pencinta buku untuk memahami lebih mendalam intipati buku yang dihasilkan.
 
IKIM turut menganjurkan slot pentas Bicara Wakaf “Cari Buku Jumpa Pahala” yang turut berlangsung di pentas utama. Tawaran istimewa turut menanti pembeli buku dengan peluang menikmati potongan harga sebanyak 20 peratus hingga 40 peratus bagi semua buku termasuk buku-buku baharu terbitan IKIM.
 
Para pengunjung yang ingin mendapatkan buku-buku terbitan IKIM, dijemput berkunjung ke dua lokasi reruai iaitu Pavilion Al-Falah yang terletak di Pelantaran Putra, Aras 2 dan reruai MAPIM di Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
 
IKIM juga akan menjadikan reruai IKIM sebagai platform untuk berkongsi maklumat mengenai IKIM dalam usaha menyampaikan ilmu secara berterusan kepada masyarakat.
 
Sekian, terima kasih,
 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama:Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel : 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA

+