Sesi ke-67 Badan Tadbir Urus APO di Indonesia Menetapkan Halatuju Strategik bagi Visi Produktiviti Bersatu

Selasa 27/05/2025

Table
Ketua-ketua delegasi dan Menteri Sumber Manusia Republik Indonesia (tengah, duduk) semasa GBM ke-67.



JAKARTA, Indonesia, 27 Mei (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Organisasi Produktiviti Asia (APO) telah menjalankan Sesi ke-67 Badan Tadbir Urus (GBM) pada 20–22 Mei 2025 di Jakarta, yang dianjurkan oleh Kerajaan Republik Indonesia. Sesi tahunan ini menghimpunkan lebih daripada 50 perwakilan yang mewakili kerajaan ahli APO untuk membincangkan halatuju strategik APO serta memastikan kredibiliti, keberkesanan, dan kerelevanan organisasi itu terus terpelihara dalam landskap produktiviti yang semakin berkembang pesat.

Sesi ke-67 GBM menyaksikan beberapa peralihan kepimpinan penting. Pengarah APO bagi India, Amardeep Singh Bhatia, telah dilantik sebagai Pengerusi APO bagi tahun 2025–2026, menggantikan Pengarah APO bagi Fiji, Jone Maritino Nemani. Pengarah APO bagi Indonesia, Agung Nur Rohmad, dan Pengarah APO bagi Republik Islam Iran, Dr. Mohammad Saleh Owlia, turut dilantik sebagai Naib Pengerusi Pertama dan Naib Pengerusi Kedua, masing-masing.

Badan Tadbir Urus menyatakan keyakinan berterusan terhadap kepimpinan progresif Setiausaha Agung sedia ada, Dr. Indra Pradana Singawinata, yang dicalonkan oleh Kerajaan Indonesia, dengan memilih beliau untuk penggal kedua sebagai Setiausaha Agung dari September 2025 hingga September 2028.

Dalam ucapan pembukaannya, Pengerusi APO, Bhatia, menekankan komitmen India sebagai ahli pengasas APO terhadap visi pertumbuhan produktiviti APO yang inklusif, berasaskan inovasi dan lestari di rantau Asia-Pasifik. Beliau turut menegaskan sekali lagi dedikasi India untuk meningkatkan kecekapan institusi dan penyesuaian strategik APO melalui kepengerusiannya, serta memuji kemajuan besar yang telah dicapai dalam pembangunan ekosistem Produktiviti Hijau (GP) 2.0.

Sesi perasmian GBM telah diserikan oleh YB Menteri Sumber Manusia Republik Indonesia, Profesor Yassierli. Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Profesor Yassierli menekankan betapa pentingnya untuk bertindak secara kolektif dalam menghadapi landskap global yang berubah dengan pantas, yang dicirikan oleh ketidaktentuan ekonomi, gangguan teknologi, dan tekanan kelestarian yang semakin meningkat. Dalam keadaan sedemikian, produktiviti tidak seharusnya dilihat sebagai persaingan antara negara, sebaliknya sebagai satu usaha bersama yang berteraskan rasa hormat, perkongsian ilmu, dan solidariti. Profesor Yassierli turut menyatakan peranan penting APO dalam memupuk solidariti dalam kalangan ahli dengan berfungsi sebagai platform kerjasama praktikal melalui penyelesaian yang menepati keperluan tempatan dengan perspektif global seperti GP.

Sesi ke-67 GBM menampilkan perbincangan mendalam mengenai beberapa keutamaan strategik untuk menentukan halatuju APO dalam tahun-tahun mendatang. Antara yang paling utama ialah perbincangan mengenai rangka visi APO pasca-2025, yang akan mendasari pelaksanaan aktiviti APO selepas tahun 2025. Pembangunan ekosistem GP 2.0 turut dibincangkan, dan Badan Tadbir Urus menyambut baik syor-syor daripada Mesyuarat Tahunan Majlis Penasihat Produktiviti Hijau yang telah diadakan di Osaka, Jepun, dari 14 hingga 15 April 2025.

Topik penting lain termasuk cadangan semakan formula sumbangan keahlian berdasarkan syor daripada pasukan petugas bagi memastikan keadilan dan kelestarian dalam pembiayaan APO. Strategi untuk memperkukuhkan keupayaan digital Sekretariat melalui penambahbaikan sistem dan peluasan akses kepada perkhidmatan APO turut dibincangkan. GBM juga meneliti kemajuan pelaksanaan tindakan pembetulan berdasarkan penilaian bebas pihak ketiga, sekali gus menegaskan semula komitmen APO terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan dan keberkesanan institusi. Pencapaian penting lain ialah akreditasi Badan Pensijilan Development Academy of the Philippines untuk mengoperasikan skim Pakar Produktiviti, serta peluasan skop badan pensijilan nasional Indonesia. GBM turut mengalu-alukan kehadiran pemerhati dari Organisasi Pembangunan Perindustrian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) dan Kementerian Ekonomi dan Kewangan Republik Uzbekistan, menandakan penglibatan APO yang semakin meluas dengan negara bukan ahli dan organisasi antarabangsa yang beroperasi di rantau Asia-Pasifik.

Sesi ke-67 GBM yang berjaya dengan cemerlang berakhir dalam suasana penuh keceriaan apabila Badan Tadbir Urus menyambut baik pengumuman Pengerusi APO, Bhatia, mengenai kesediaan India untuk menjadi tuan rumah GBM ke-68 pada tahun 2026.

 Maklumat tentang APO

APO ialah sebuah organisasi antara kerajaan yang komited untuk meningkatkan produktiviti dan pembangunan sosioekonomi di rantau Asia-Pasifik melalui perkhidmatan penasihat dasar, inisiatif pembangunan kapasiti, perkongsian ilmu, dan kerjasama. Ia bersifat tidak berpihak, tidak berasaskan keuntungan, dan tidak mendiskriminasi.

Ditubuhkan pada tahun 1961 dengan lapan ahli pengasas, APO kini terdiri daripada 21 ekonomi ahli.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20250526891094/en
 
Hubungi

Organisasi Produktiviti Asia (APO)
Maklumat Hubungan: pr@apo-tokyo.org.
Laman Web: https://www.apo-tokyo.org.
 
Sumber: The Asian Productivity Organization

--BERNAMA


+