Produktiviti Pekerja Meningkat 1.3% Dengan AI Terajui Strategi MPC

Rabu 28/05/2025

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang giat melaksanakan refomasi menyeluruh terhadap ekosistem produktiviti negara. Pendekatan ini berteraskan pemanfaatan kecerdasan buatan (AI) sebagai strategi utama dalam meningkatkan daya saing dan pertumbuhan produktiviti yang mampan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, melaporkan peningkatan produktiviti buruh sebanyak 1.3 peratus kepada RM24,580 per pekerja pada suku pertama 2025. Kenaikan ini sejajar dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4 peratus, menandakan sumbangan langsung produktiviti terhadap ekonomi negara secara menyeluruh.

Trend positif ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil perubahan asas dalam struktur industri yang menekankan hubungan baharu antara proses kerja, teknologi, dan tenaga manusia. AI diguna pakai secara meluas sebagai pemacu kecekapan melalui sistem pintar, analisis ramalan, dan automasi strategik, membolehkan organisasi meningkatkan output tanpa penambahan input secara linear.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail, menegaskan bahawa produktiviti moden perlu disandarkan kepada sistem, bukan semata-mata individu. Penekanan kini diberikan kepada reka bentuk semula proses kerja, pengoptimuman aliran maklumat, dan kolaborasi pintar antara manusia dan teknologi. Ini mencerminkan transformasi menyeluruh terhadap cara fikir mengenai produktiviti serta perubahan budaya kerja dalam organisasi.

MPC memberi tumpuan kepada penilaian semula dan penstrukturan ekosistem produktiviti industri, merangkumi pemodenan teknologi, penyesuaian dasar, struktur organisasi, dan penetapan piawaian prestasi yang yang berfokus kepada hasil dan impak. Melalui pendekatan ini, MPC menyasarkan untuk memperkasa lebih 10,000 syarikat dalam meningkatkan produktiviti menerusi penggunaan AI, sama ada melalui bimbingan langsung, pemindahan pengetahuan mahupun pendedahan strategik yang bersasar.

Usaha ini turut memastikan pelaburan dalam teknologi dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan sebenar dari segi kecekapan dan pulangan ekonomi. Penyepaduan AI dalam semua peringkat proses industri mempercepatkan pembuatan keputusan dan meningkatkan keupayaan organisasi bertindak balas secara tangkas terhadap perubahan pasaran global yang dinamik.

Melalui pendekatan menyeluruh ini, Malaysia berada pada landasan kukuh sebagai negara yang bukan sahaja bersedia menghadapi peralihan ekonomi digital, malah berupaya mencipta kelebihan daya saing baharu berasaskan kecerdasan bersepadu, inovasi berterusan, dan produktiviti tinggi.
 
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.  

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019-7181804 
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my
 
Nama: Nor Surayya Abdul Samad
Tel: 012-2793079
E-mel: surayya@mpc.gov.my

--BERNAMA

 
 

+