United Kingdom, Belanda, Mesir dan Arab Saudi antara yang berkemungkinan menjadi pemenang dalam perubahan aturan dunia

Rabu 28/05/2025

TMF Group hari ini melancarkan kajian tahunan ke-12 mengenai kerumitan perniagaan global, serta menyenaraikan negara berdasarkan beban peraturan dalam menjalankan perniagaan.

LONDON, 28 Mei (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Indeks Kerumitan Perniagaan Global (GBCI) mengkaji lebih 250 penunjuk kerumitan dalam 79 bidang kuasa yang mewakili 94% daripada KDNK dunia. Kerumitan yang diukur dalam laporan tersebut merupakan beban besar yang menghalang inovasi tempatan dan mengurangkan pelaburan langsung asing tanpa manfaat sosial yang jelas. Laporan itu secara konsisten menunjukkan bahawa negara-negara di Eropah Selatan dan Amerika Latin merupakan rantau yang paling rumit untuk menjalankan perniagaan, malah keadaan ini masih berlarutan sehingga tahun 2025. Sebaliknya, tempat yang kelihatan paling kurang rumit untuk menjalankan perniagaan ialah Eropah Utara serta beberapa hab pelaburan luar pesisir. Kesemua negara tersebut bersaing untuk menarik pelaburan berdasarkan kemudahan menjalankan perniagaan, dengan mengenakan syarat yang kurang membebankan serta kaedah yang lebih cekap bagi syarikat menguruskan syarat tersebut.

Laporan tersebut menyatakan bahawa kerumitan peraturan masih boleh diatasi, sekurang-kurangnya bagi syarikat multinasional besar yang mampu menanggung kos pematuhan terhadap peraturan tempatan. Namun, apa yang jauh lebih sukar untuk dihadapi ialah ketidakpastian. Sekatan yang diterajui AS, sekatan pergerakan di China dan sekatan Terusan Suez telah mula mengubah corak globalisasi ke arah rantaian bekalan yang lebih pelbagai. Dalam masa yang sama, syarikat-syarikat berusaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap satu-satu negara untuk mendapatkan sumber, membina atau menjual produk. Kebangkitan ekonomi penghubung seperti Mexico, Filipina dan Vietnam, yang memainkan peranan sebagai jambatan perdagangan antara China dan AS dalam strategi yang dikenali sebagai ‘China plus one’ merupakan salah satu penyelesaian yang diketengahkan dalam laporan tahun lalu. Namun, strategi itu kini terjejas akibat tarif yang dikenakan oleh AS, yang ditetapkan berdasarkan lebihan dagangan sesebuah negara dengan AS, sekaligus memberikan kesan yang negatif kepada negara yang mempunyai status sebagai ekonomi penghubung.

Walaupun tarif mungkin dikurangkan, pelancarannya dan perubahan pantas tetap menunjukkan risiko tersembunyi bagi syarikat yang berdagang dari negara yang mempunyai lebihan dagangan yang tinggi dengan AS. Laporan tersebut mencatatkan penurunan keyakinan terhadap kestabilan, dan majoriti bidang kuasa (55%) memberikan keutamaan kepada kepelbagaian koridor perdagangan. Beberapa negara juga dikenal pasti sebagai berpotensi muncul sebagai penghubung baharu, dengan tahap kerumitan yang rendah yang menunjukkan peraturan mesra perniagaan, lebihan dagangan dengan AS yang rendah yang mengurangkan risiko tindakan balas, saiz ekonomi yang agak besar dan maju untuk menyokong pelbagai aktiviti pada skala besar dan menyerap pelaburan tanpa meningkatkan lebihan dagangan dengan AS secara mendadak, serta pendirian multipolar yang membolehkan mereka berdagang dalam pelbagai blok ekonomi. Negara-negara ini termasuklah United Kingdom dan Belanda di Eropah, Mesir dan Arab Saudi di Asia Barat, serta Australia dan Hong Kong di Asia Pasifik.

Sebagai penutup, laporan itu menekankan bahawa dalam keadaan amat tidak menentu dalam perdagangan global, terutamanya perdagangan dengan AS, kerajaan atau pemerintah harus menumpukan pada usaha menjadikan negara mereka lebih mesra perniagaan serta melakukan rundingan perjanjian perdagangan merentasi pelbagai blok ekonomi untuk menggalakkan pelaburan silang. Laporan itu turut menyebut bahawa syarikat-syarikat perlu memperluaskan lagi kepelbagaian rantaian bekalan mereka. Langkah ini akan meningkatkan kerumitan dalaman serta kos. Dalam masa yang sama, syarikat-syarikat boleh mengurangkan masalah ini dengan mempermudahkan pengurusan rantaian bekalan mereka. Kebanyakan syarikat mempunyai terlalu banyak entiti undang-undang bagi skop geografi mereka, serta bilangan pembekal yang besar untuk menguruskan operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif TMF Group, Mark Weil berkata:

“Cabaran sebenar bagi perniagaan hari ini bukanlah kerumitan, tetapi ketidakpastian. Dengan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat, landskap geopolitik yang berubah-ubah dan ekonomi yang sukar diramal, syarikat-syarikat terpaksa membuat keputusan dalam persekitaran yang boleh berubah dalam sekelip mata. Tarif hanyalah satu isyarat terkini yang menekankan risiko kebergantungan pada satu rantaian bekalan. Dalam konteks ini, kepelbagaian menjadi suatu keperluan walaupun ada kos yang tersendiri. Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat masih boleh mengurangkan sebahagian kerumitan dalam mempelbagaikan perniagaan dengan mempermudahkan struktur dalaman. Penanda aras kami menunjukkan kerumitan struktur yang jelas ketara dalam kalangan syarikat yang serupa. Kami melihat wujud peluang di sini, iaitu dengan mempermudahkan struktur dan model sokongan, contohnya, dengan mengecilkan entiti undang-undang dan rakan global yang dipercayai. Dengan cara ini, perniagaan akan lebih fleksibel. Jika dilakukan dengan betul, langkah ini dapat meningkatkan kecekapan dan ketangkasan dalam menghadapi dunia yang penuh ketidakpastian.”

Hubungan Media
Marina Llibre Martin, Pengurus Perhubungan Awam Global
marina.llibremartin@tmf-group.com

SUMBER: TMF Group B.V.

--BERNAMA

+