Quadria Capital Tutup Dana Ketiga Berjumlah AS$1 Bilion yang Melebihi Sasaran, Pacu Transformasi Penjagaan Kesihatan di Asia

Jumaat 30/05/2025

  • Penutupan dana melebihi sasaran awal meskipun berdepan persekitaran pengumpulan dana yang mencabar, mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap sektor penjagaan kesihatan di India dan Asia Tenggara
  • Pelabur sedia ada tingkatkan komitmen purata sebanyak 80%
  • Modal baharu dikumpul daripada institusi global bertaraf tinggi, disertai peningkatan ketara penyertaan pelabur Asia
 
SINGAPURA, 30 Mei (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Quadria Capital, firma ekuiti persendirian terkemuka Asia yang memfokuskan kepada penjagaan kesihatan, hari ini mengumumkan penutupan akhir Dana Ketiga dengan komitmen keseluruhan berjumlah AS$1.07 bilion, jauh melebihi sasaran awal sebanyak AS$800 juta.

Pengumpulan dana yang menerima lebihan langganan ini merangkumi lebih AS$954 juta dalam bentuk komitmen utama dan AS$114 juta dalam modal pelaburan bersama yang telah diluluskan. Tambahan kapasiti pelaburan bersama sebanyak AS$300 juta dijangka sepanjang fasa pelaburan, menjadikan jumlah keseluruhan modal komited kepada kira-kira AS$1.3 bilion apabila dana dilaburkan sepenuhnya.

Pengumpulan dana terbaharu ini adalah sekitar 60% lebih besar daripada dana AS$600 juta yang dikumpul pada tahun 2020, mengukuhkan lagi kedudukan Quadria sebagai dana ekuiti persendirian khusus penjagaan kesihatan terbesar di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

“Penutupan Dana Ketiga ini, dalam salah satu persekitaran pengumpulan dana paling mencabar dalam sejarah terkini, adalah bukti kukuh terhadap strategi dan misi kami,” kata Abrar Mir, Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan, Quadria Capital. “Ini mencerminkan keyakinan mendalam pelabur global terhadap potensi transformasi dalam sektor penjagaan kesihatan Asia, dengan impak sosial dan prestasi kewangan bergerak seiring.”

Sokongan Kukuh Institusi Global Merentasi Benua

Dalam suasana global yang berhati-hati terhadap pelaburan, keupayaan Quadria untuk terus menarik pelabur institusi bertaraf dunia menegaskan keyakinan tinggi terhadap strategi pelaburannya serta potensi luar biasa dalam pasaran penjagaan kesihatan Asia.

Penyokong utama sedia ada Quadria Capital terdiri daripada dana kekayaan negara, pengurus aset, dan syarikat korporat strategik yang terkemuka dari Amerika Utara dan Eropah. Dana ini turut meraih komitmen baharu daripada pelabur institusi yang diiktiraf di peringkat global. Paling ketara, terdapat sokongan kuat daripada institusi ternama di rantau GCC, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain. Pengumpulan dana ini turut menarik minat dari India, dengan penyertaan modal baharu daripada bank-bank utama, syarikat insurans, dan pejabat keluarga. Selain itu, Dana ini menerima komitmen pelaburan semula yang kukuh daripada pelabur berimpak, menekankan komitmen berterusan Quadria terhadap perniagaan penjagaan kesihatan berskala yang memberi impak tinggi serta menyediakan rawatan yang menyelamatkan nyawa kepada komuniti kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Asia.

Bersedia Menerajui Pertumbuhan Struktural dalam Pasaran Penjagaan Kesihatan Asia Bernilai AS$5 Trilion

“Dengan Asia dijangka menyumbang 40% daripada pertumbuhan penjagaan kesihatan global menjelang 20301 , Dana Ketiga meletakkan Quadria di barisan hadapan untuk menerajui era baharu transformasi penjagaan kesihatan yang didorong oleh modal swasta di seluruh rantau ini,” kata Abrar Mir.

“Industri penjagaan kesihatan Asia berada di titik perubahan penting dan akan terus menjadi tumpuan sepanjang tahun 2025, terutamanya dengan minat pelaburan yang semakin meningkat di India dalam bidang seperti hospital khusus tunggal, rangkaian diagnostik, peranti perubatan, serta pengilangan farmaseutikal yang merangkumi API dan CDMO. Sektor ini akan terus berkembang hasil peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan, inisiatif penjimatan kos, dan penerapan teknologi yang semakin mendalam. Kita sedang memasuki dekad emas transformasi penjagaan kesihatan,” ujar Dr Amit Varma, Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan, Quadria Capital.

Dana Ketiga akan membina portfolio pelaburan pelbagai yang terdiri daripada kira-kira 10 syarikat peneraju pasaran, dengan mengambil pegangan minoriti signifikan dan majoriti, serta meningkatkan impak melalui pelaburan bersama yang disasarkan daripada rakan kongsi terhad (LP).

Hampir 40% daripada dana telah pun dilaburkan termasuk pelaburan yang telah dimeterai antaranya dalam Aragen Life Sciences (CRDMO global yang berkhidmat untuk lebih 400 syarikat farmaseutikal), NephroPlus (rangkaian dialisis terbesar di Asia), dan Maxivision (rangkaian penjagaan mata terkemuka di India). Dua pelaburan baharu di Asia Tenggara dijangka diumumkan tidak lama lagi. Dana Ketiga ini meneruskan rekod kejayaan Quadria Capital dalam pelaburan dan pelepasan dana dari Dana I dan II, sekali gus membuktikan kekuatan strategi pelaburannya, kepakaran operasi, serta keupayaan untuk memberikan pulangan modal kepada pelabur.

Maklumat tentang Quadria:

Ditubuhkan pada tahun 2012, Quadria Capital merupakan pelabur penjagaan kesihatan terkemuka di Asia yang menguruskan lebih AS$4 bilion dalam aset merentasi 27 pelaburan di Asia Selatan dan Asia Tenggara termasuk India, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Quadria Capital bertekad untuk mencipta nilai pemegang saham yang signifikan dan mampan dengan bekerjasama bersama perniagaan penjagaan kesihatan cemerlang untuk meningkatkan impak dan skala mereka, sambil menjana pulangan pelaburan yang unggul kepada para pelabur.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.quadriacapital.com

1 https://www.bcg.com/publications/2025/india-the-unmissable-asia-healthcare-opportunity

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Hubungi

Hubungan Media:
Yvette Lim
Yvette.lim@fgsglobal.com

Sumber: Quadria Capital

--BERNAMA
+