HAWANA 2025 TERIMA TAJAAN 79 RAKAN STRATEGIK

Selasa 03/06/2025

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dan mengumumkan logo serta tema sambutan edisi tahun ini di Wisma BERNAMA di sini.

Sambutan HAWANA 2025 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 13 hingga 15 Jun ini dengan Majlis Kemuncak HAWANA 2025 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun ini melibatkan lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara anggota ASEAN.

Program ini menghimpunkan fraterniti media profesional dan pakar industri untuk berkongsi idea serta membina jaringan hubungan strategik.

HAWANA 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara menarik, antaranya:

i) Forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun 2025;
ii) Karnival dan pameran HAWANA di Sunway Putra Mall yang berlangsung dua hari bermula 13 Jun 2025;
iii) Sukan media yang mengetengahkan elemen tradisional; dan
iv) Siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak serta Johor.

Tahun 2025 menyaksikan sebanyak 79 rakan strategik telah menyatakan komitmen setakat ini dengan menaja serta menyumbang sama ada dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan (penaja in-kind) atau tajaan kontra. Perkembangan ini jelas menunjukkan HAWANA kini semakin mendapat perhatian daripada syarikat korporat, apabila jumlah rakan strategik yang tampil memberikan penajaan dan sumbangan meningkat berbanding 44 pada tahun lalu.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.

Pada majlis yang sama, YB Datuk Fahmi turut merasmikan MOTORHOME-BERNAMA Mobile Studio sekali gus, menjadikan BERNAMA antara agensi media di Malaysia yang memiliki studio siaran bergerak lengkap untuk pelaporan berita di lapangan.

Kenderaan canggih yang berkapasiti maksimum enam penumpang ini dilengkapi studio mini dan ruang kerja wartawan, menjadikannya bukan sahaja sebagai unit berita bergerak, malah berpotensi dijadikan studio rakaman audio siar mudah alih yang dapat digunakan secara dinamik oleh BERNAMA.

Pendekatan BERNAMA Mobile Studio ini akan memastikan media tetap relevan dalam konteks globalisasi dengan bidang penyiaran serta kewartawanan yang turut mengintegrasikan teknologi lain seperti media digital dan kecerdasan buatan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, YBhg. Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj merangkap
Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi BERNAMA.

Sila klik di sini untuk LAMPIRAN (SENARAI RAKAN STRATEGIK HAWANA 2025)

Dikeluarkan oleh:
Sekretariat HAWANA 2025
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

--BERNAMA

 

+