RADIO IKIMFM DAN TVIKIM SAJI RANCANGAN KHAS ISTIMEWA SEMPENA AIDILADHA 1446H/2025M

Khamis 05/06/2025

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Berbaki beberapa hari sahaja lagi umat Islam di negara ini akan meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan penuh penghayatan dan kesyukuran. Bertemakan ‘Inspirasi Kembara Suci’, pastinya sambutan Aidiladha pada tahun ini akan membawa para pendengar dan penonton IKIMfm, tvIKIM dan platform media sosial, menghayati serta menyelusuri hikmah di sebalik ibadah haji dan falsafah ibadah korban.
 
Bermula 1 hingga 10 Zulhijjah 1446H, radio IKIMfm bakal menyiarkan rancangan Istimewa iaitu Debaran Mabrur bersama Ustazah Ainun Mardhiah Ismail yang mengetengahkan pengalaman dan kisah realiti para jemaah haji dalam menunaikan ibadah dengan penuh keikhlasan dan harapan mendapat haji yang mabrur, bersiaran setiap hari jam 4.50 petang.
 
Para pendengar juga akan dihidangkan dengan Kapsul Haji yang menyiarkan info tentang hikmah dan fadhilat pada bulan Zulhijjah. Menampilkan Ustaz Tariq bin Mohd Akbar sebagai panel akan turut berkongsi amalan yang dianjurkan sempena bulan ini dan panduan menghidupkan sambutan Aidiladha.
 
Sinonim dengan radio IKIMfm, penerbitan Drama Khas Aidiladha bertajuk “Mengimpi Sekilas Harapan” mengisahkan suka duka seorang Ketua Kampung dalam menyampaikan ibadah korban kepada penduduk kampung yang kurang berkemampuan akan dapat diikuti siarannya pada 7 hingga 9 Jun 2025, jam 4:10 petang (Ulangan 8:45 malam)
 
Selain itu, pengisian Kapsul Aidiladha dalam pelbagai bahasa iaitu Bahasa Arab, Mandarin, Tamil, termasuk bahasa-bahasa suku kaum di Sabah dan Sarawak memberi penerangan, cerita dan nasihat berkaitan sambutan Hari Raya Aidiladha. Kapsul ini bertujuan menyampaikan makna, sejarah serta nilai pengorbanan dan ibadah korban dalam konteks masyarakat Islam yang berbilang bangsa dan budaya. Melalui penggunaan bahasa yang pelbagai, rancangan ini mengukuhkan kefahaman dan perpaduan komuniti Muslim serta memudahkan penyebaran ilmu kepada pendengar dari latar belakang mualaf yang berbeza-beza.
 
Menarik juga menanti para pendengar adalah rancangan Intipati Khutbah Aidiladha yang merangkumi beberapa tema utama berkaitan dengan pengorbanan, ketaatan, dan nilai keikhlasan dalam Islam. Teks khutbah ini akan dibacakan berdasarkan tajuk khutbah yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada Hari Raya Aidiladha bagi tahun ini, dijadualkan bersiaran pada 7 Jun 2025, jam 8.30 pagi.
 
Selain itu, penerbitan kapsul Light of Life Capsule – “Eid Adha 2025 Special”  yang disiarkan setiap hari pada jam 6:55 pagi (Ulangan - 8:55 malam) membawakan pengisian oleh Shaykh Hamzah Wald Maqbul, seorang ulama dan pensyarah kanan di Ribat Institute and al Balagh Academy. Beliau berkongsi penghayatan terhadap perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW berdasarkan hadis-hadis pilihan daripada buku “Sacrifice : The Legacy of Our Beloved Prophet Muhammad SAW” karya Shaykh Tameem Ahmadi.
 
Bagi penerbitan program Istimewa Aidiladha 1446H di tvIKIM yang disiarkan menerusi pelantar digital www.tvikim.my ialah Siaran Takbir Aidiladha pada 6 Jun 2025, jam 8:00 malam, 7 – 10 Jun 2025, jam 8:00 pagi dan jam 5.00 petang.
 
Penonton TV internet itu juga boleh mengikuti rancangan khas Dokumentari Khas Tun Abdullah: Pemikiran, Integriti dan Insan yang akan bersiaran pada 7 Jun 2025, jam 10.30 pagi.
 
Selain itu, As-Su’al – Episod 4  (Tajuk: Daging dan Darah Tidak Sampai kepada Allah, Tetapi Apa yang Sampai?) bersama ahli panel Ustaz Muhammad Naim Sadoon dan  Ahmad Al-Muhsin sebagai pengacara. Siaran program pada 7 Jun 2025, jam 3:00 petang. Rancangan As-Su’al Episod 5 mengetengahkan tajuk Di Tengah Krisis, Aidiladha & Semangat Ibrahim bersama ahli panel undangan, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin yang merupakan Presiden ABIM  dan penyampai radio IKIMfm, Ahmad Al-Muhsin. Rancangan ini bersiaran pada 8 Jun 2025, jam 3:00 petang.
 
Selain itu, melalui Bahagian Ekonomi & Pemasaran IKIM akan menganjurkan pelaksanaan ibadah korban di Masjid Al-Azim, Melaka bersama rakan penaja Ez Qurban pada 7 Jun 2025. Program ini juga akan mendapat liputan daripada tvIKIM.
 
Kandungan penyampaian dakwah istimewa sempena Aidiladha 1446H  juga boleh diikuti menerusi media sosial di Facebook: ikimfm. Instagram: ikim.my, laman sesawang: www.ikim.my dan Tik Tok: radioikim.
 
Sekian, terima kasih.
 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
e-Mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
e-mel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA
 

 
+