Satu pemandangan dari udara bagi satu sudut di Kawasan Baharu Meishan Tianfu.
CHENGDU, China, 9 Jun, 2025 /Xinhua-AsiaNet/--
Pada 9 Jun, Persidangan Pembangunan Industri Aplikasi Satelit Meishan ke-3 dibuka secara rasmi di Bandar raya Meishan di Wilayah Sichuan, China. Pakar-pakar di dalam bidang teknologi penderiaan jauh, aeroangkasa dan bidang yang berkaitan, bersama-sama dengan wakil daripada organisasi kerjasama antarabangsa, berkumpul di Meishan untuk satu perbincangan mendalam mengenai inovasi teknologi, pembangunan rantaian industri yang diselaraskan dan model-model kerjasama antarabangsa di dalam industri satelit, menyumbangkan pandangan dan cadangan bagi membantu memajukan sektor satelit Meishan ke satu tahap yang lebih tinggi.
Persidangan itu telah ditaja oleh Persatuan China bagi Aplikasi Penderiaan Jauh dan Kerajaan Rakyat Kota Meishan, dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Meishan bagi Kawasan Baharu Sichuan Tianfu, dan dianjurkan bersama oleh Meishan Tianfu New Area Xingchan Investment Group Co., Ltd.
Pada majlis perasmian, Persatuan China bagi Aplikasi Penderiaan Jauh telah mengeluarkan Buku Biru 2025 mengenai Pembangunan Sektor Aplikasi Penderiaan Jauh China. Ucaptama telah disampaikan oleh Li Deren, ahli fotogrametri dan saintis penderiaan jauh serta profesor di Universiti Wuhan; Zhu Ninghua, pakar fotonik gelombang mikro dan pengarah di Institut Fotonik Pintar di Universiti Nankai; dan Xu Ying, saintis sistem pengemudian Beidou dan penyelidik di Institut Penyelidikan Maklumat Aeroangkasa di Akademi Sains China.
Huantian Wisdom Technology Co., Ltd., perusahaan terkemuka di dalam industri satelit Meishan, melancarkan platform mereka "StarView Horizon", yang menyepadukan lebih 40 algoritma spatiotemporal teras pada majlis perasmian itu. Ia juga menandatangani perjanjian kerjasama dengan Kazakhstan Temir Zholy, Kazakhstan Kazaerospace, dan Kumpulan Karuna Malaysia untuk mempromosikan projek aplikasi satelit.
Dalam tiga dekad yang lalu, industri angkasa China telah berkembang pesat. Akibatnya, banyak bandar raya yang terkenal kerana industri berkaitan mereka telah muncul di seluruh negara itu. Dalam bidang teknologi satelit, wilayah di luar kubu kuat tradisional seperti Beijing, Shanghai dan Xi'an kini membuat kemajuan yang ketara di dalam sektor ini, bandar raya seperti Meishan telah muncul sebagai hab baharu bagi industri satelit.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Bandar raya Meishan telah merebut peluang bagi pembangunan aeroangkasa komersial, dengan menerajui di dalam menempatkan industri aplikasi satelit di Wilayah Sichuan, dan mempromosikan aplikasi data penderiaan jauh satelit di tanah ladang berstandard tinggi, pencegahan dan pengurangan bencana, tinjauan sumber, perlindungan alam sekitar, bandar raya pintar, dan bidang-bidang lain. Pada masa ini, Meishan telah menjadi bandar raya dengan bilangan satelit penderiaan jauh komersial yang terbesar di Barat Daya China, dengan menduduki tempat keempat di negara itu secara keseluruhan.
Meishan melancarkan pelan pembangunan industri satelit mereka (2024-2030) pada tahun lepas, dengan menggariskan satu pelan hala tuju strategik untuk membina sebuah kluster industri satelit yang berdaya saing di peringkat global menjelang tahun 2030, dengan menyasarkan satu skala perindustrian yang melebihi 10 bilion yuan (kira-kira 1.39 bilion dolar Amerika).
Untuk mencapai matlamat yang bercita-cita tinggi ini, Meishan sedang giat memajukan pembangunan projek-projek perindustrian utama. Pada 30 Disember, 2024, Taman Perindustrian Satelit China Barat, yang terletak di Kawasan Baharu Meishan Tianfu, secara rasmi memulakan operasi penuh. Semasa persidangan ini, sembilan perusahaan baharu telah menandatangani perjanjian untuk menyertai taman itu, dan satu platform inovasi sains dan teknologi baharu telah diperkenalkan. Sehingga kini, taman itu telah menarik sejumlah 26 perusahaan berkaitan satelit dan lima platform penyelidikan saintifik. Menjelang tahun 2028, skala bagi industri satelit Meishan dijangka melebihi 5 bilion yuan.
Dalam sudut yang berbeza, Pusat Pengkomputeran Pintar Awan Huantian -- pusat data terbesar yang didedikasikan kepada sektor satelit komersial di Barat Daya China -- akan mula beroperasi. Ia bertujuan menangani tiga kesesakan utama yang menghalang pembangunan sektor itu: kuasa pengkomputeran yang tidak mencukupi, kapasiti storan yang terhad dan kecekapan aplikasi yang rendah.
"Ia dijangka melengkapkan bahagian terakhir bagi susun atur industri aeroangkasa Meishan, untuk menjadikan bandar raya itu sebagai satu daripada beberapa tempat di China yang mempunyai keupayaan komprehensif di dalam penyelidikan dan pembangunan satelit, pemantauan dan kawalan, aplikasi dan penghantaran data," kata Yang Zhenyu, timbalan pengurus besar bagi Huantian Wisdom Technology Co., Ltd., pemilik bagi infrastruktur baharu itu.
Sumber: Jawatankuasa Pengurusan Meishan bagi Kawasan Baharu Sichuan Tianfu
--BERNAMA