KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak ingin memaklumkan perkembangan semasa berhubung kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku pada 9 Jun 2025, sekitar jam 1.30 pagi di KM 53 Jalan Gerik–Jeli, lebih kurang 7 kilometer dari Titiwangsa menuju ke Gerik, Hulu Perak.
Kemalangan tersebut melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kereta, dengan keseluruhan 48 orang mangsa – terdiri daripada 44 orang dalam bas dan 4 orang dalam kereta.
Pasukan perubatan dan kesihatan daripada fasiliti kesihatan berhampiran telah digerakkan segera ke lokasi kejadian seperti berikut:
· Hospital Gerik
· Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)
· Klinik Kesihatan Lawin
· Klinik Kesihatan Plang
· Hospital Baling (JKN Kedah)
Seramai 15 mangsa disahkan meninggal dunia, dengan 13 mangsa maut di lokasi kejadian dan 2 lagi disahkan meninggal dunia di fasiliti kesihatan (Brought-in-Dead (BID)). Seramai 33 mangsa cedera telah dibawa ke Hospital Gerik yang mana, 13 mangsa telah dirujuk ke hospital lain iaitu:
· Hospital Taiping (8 kes)
· HRPB Ipoh (2 kes)
· Hospital Baling (3 kes)
Setakat ini, 18 mangsa telah dibenarkan pulang dan 15 lagi masih dirawat di hospital:
· Hospital Taiping – 10 orang
· HRPB – 2 orang
· Hospital Baling – 3 orang
Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan pelbagai (multiple traumatic injuries). Tiada mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini.
Pengurusan Jenazah
· 13 jenazah telah dibawa ke HRPB untuk proses pengecaman dan bedah siasat bermula jam 11.15 pagi hingga 4.40 petang. Proses ini melibatkan 1 pasukan antemortem dan 3 pasukan postmortem (14 anggota).
· 2 jenazah BID telah dibedah siasat di Hospital Gerik dari jam 1.00 petang hingga 6.00 petang oleh pasukan postmortem seramai 7 anggota.
Semua jenazah telah diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.
JKN Perak bersama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak telah mengaktifkan bilik gerakan bagi menyelaras respons insiden. Sebanyak 9 pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikolsosial (MHPSS) melibatkan 40 anggota dari peringkat negeri dan daerah telah digerakkan untuk memberi sokongan psikososial kepada mangsa dan keluarga.
Pelaporan bagi keseluruhan situasi berhubung kemalangan ini adalah sehingga jam 10.00 pagi tadi.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui JKN Perak akan terus memantau perkembangan insiden ini dan bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan. Pihak KKM dan JKN Perak sekali lagi mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dan mendoakan agar mereka yang cedera diberi kesembuhan segera.
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Kesihatan Negeri Perak
Melalui:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: TIMOTHY PALAVADRAM
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my
--BERNAMA