MaTEx-ATO: Pacu Produktiviti Pelancongan Lasak Pahang

Selasa 10/06/2025

Table

Sesi penilaian tapak untuk Program Pensijilan Perniagaan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) bagi kategori Adventure Tourism Operators (ATO) 

 
BENTONG, 10 Jun (Bernama) -- Negeri Pahang telah merekodkan kehadiran pelancong yang memberangsangkan pada tahun 2024 iaitu seramai 13.74 juta orang. Bagi mencapai sasaran ini, pelbagai inisiatif telah dirancang, termasuk penganjuran acara pelancongan sepanjang tahun dan peruntukan oleh kerajaan negeri kepada Tourism Pahang bagi merancakkan aktiviti pelancongan, termasuk persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
 
MPC melalui Produktiviti Nexus Pelancongan telah memperkenalkan Program Pensijilan Perniagaan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) bagi kategori Adventure Tourism Operators (ATO) bertujuan untuk meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan pelancongan, serta meningkatkan keyakinan pelancong terhadap industri pelancongan Malaysia sekaligus membantu mempercepatkan produktiviti pelancongan lasak.
 
Program ini juga menekankan aspek keselamatan pelancong apabila penilaian di tapak adalah fasa penting dalam proses pensijilan, di mana panel penilai meneliti secara langsung operasi, fasiliti dan prosedur keselamatan syarikat pengendali pelancongan lasak. Lulusnya penilaian ini membolehkan syarikat diiktiraf secara rasmi di bawah MaTEx sebagai operator pelancongan lasak yang memenuhi kriteria kebangsaan.
 
YB Leong Yu Man, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang melalui Jawatankuasa Pelancongan Negeri Pahang sangat menyokong kepada usaha ini dengan memperuntukkan perbelanjaan kepada pihak Tourism Pahang bagi merancakkan aktiviti pelancongan Pahang.
 
Beberapa pengusaha operator pelancongan lasak sedar akan kepentingan program ini akan memberi imej yang baik kepada pengusaha sendiri dan telah menjalankan penilaian di tapak iaitu R.A Travel & Tours di Merapoh, Pahang yang menilai aktiviti pendakian gunung serta Persatuan Sahabat Alam Tampik di Janda Baik, Pahang melibatkan aktiviti pendakian ke Air Terjun Tampik. Pada bulan ini juga, beberapa pengusaha lain di daerah Jerantut dan Cameron Highlands akan turut sama menjalankan penilaian bagi memperbaiki mutu dan kualiti perkhidmatan masing-masing. Usaha ini diharap mampu mengiktiraf produk serta perkhidmatan pelancongan yang menepati piawaian kualiti tinggi, seterusnya memperkukuh kedudukan Pahang sebagai destinasi pelancongan unggul di Malaysia.
 
Menurut Pengarah MPC Pahang, program ini selari dengan agenda peningkatan produktiviti negeri di mana penglibatan aktif pemain industri pelancongan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan.
 
Kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak industri ini mencerminkan semangat kolektif untuk memperkasa ekosistem pelancongan negeri. Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan, agar lebih ramai pengusaha tempatan mengambil bahagian dan berusaha mencapai taraf kecemerlangan yang diiktiraf.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.  

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Haslizayanti Othman
Tel: 019-3764858
Emel: haslizayanti@mpc.gov.my

Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 012-2867346
Emel: nikhaneez@mpc.gov.my   

--BERNAMA 
+