KUALA SELANGOR, 11 Jun (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pemerkasaan ekonomi komuniti melalui pelancaran Projek Wakaf Kubah Pengering Solar (KPS) di Pasar Nelayan Sungai Yu, Kuala Selangor. Majlis ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan zakat kepada golongan asnaf setempat, sekali gus memperkukuh sinergi antara wakaf dan zakat sebagai pemacu perubahan sosial yang mampan.
Program anjuran bersama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan Wakaf Selangor Muamalat (WSM), dengan kerjasama Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), telah dirasmikan oleh Tuan Haji Anuar Hamzah Bin Tohar, Ketua Pengarah Eksekutif PWS. Turut hadir ialah barisan pengurusan kanan daripada Bank Muamalat, PWS, WSM dan AIBIM.
Sebagai bank utama yang diberi mandat oleh AIBIM untuk merancang dan melaksanakan projek ini di Selangor, Bank Muamalat membuktikan komitmennya dalam menerajui transformasi sosial berasaskan nilai Islam, selaras dengan aspirasi Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation, VBI). Ini merupakan projek KPS kedua kendalian Bank Muamalat selepas kejayaan di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, dan projek kelima di bawah inisiatif nasional AIBIM.
Dengan jumlah sumbangan wakaf sebanyak RM140,681.00 melalui platform WSM, projek ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 900 nelayan pelbagai kaum di Kuala Selangor, khususnya melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Yu. Seramai 10 Ahli Lembaga Pengarah PNK telah dipilih untuk mengurus dan mengoperasikan kemudahan ini secara berkelompok.
KPS direka untuk mempercepat dan meningkatkan kualiti proses pengeringan hasil laut dengan hanya mengambil masa 4 hingga 5 jam, mengekalkan kebersihan sehingga 99%, serta memelihara nutrien produk. Lebih signifikan, pendapatan nelayan terlibat telah meningkat daripada hanya RM400–RM800 sebulan kepada RM5,000–RM8,000, menunjukkan impak ketara pendekatan kewangan Islam yang inklusif dan lestari.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin, berkata: “Sebagai institusi kewangan Islam yang berteraskan nilai, kami percaya bahawa tanggungjawab sosial korporat bukan sekadar menyantuni keperluan semasa, tetapi menjadi pemangkin perubahan jangka panjang. Melalui projek ini, kami bukan sahaja membantu nelayan meningkatkan taraf hidup mereka, malah menyokong dasar kerajaan dalam membangunkan komuniti luar bandar. Inilah cerminan bagaimana sistem kewangan Islam boleh berfungsi sebagai pemacu kemajuan ekonomi dan sosial, selari dengan aspirasi VBI dan agenda pembangunan negara.”
Majlis turut diserikan dengan penyerahan sumbangan zakat kepada golongan asnaf setempat sebagai simbol keprihatinan Bank Muamalat terhadap kesejahteraan komuniti melalui pendekatan Islamik yang menyeluruh.
Sebagai peneraju inisiatif pemerkasaan komuniti, Bank Muamalat komited untuk terus meneroka dan memperluas pelaksanaan inisiatif wakaf produktif di seluruh negara, menyokong matlamat pembangunan komuniti dan memperkukuh ekosistem ekonomi Islam di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari
www.muamalat.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 03-2600 5500.
Mengenai Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat)Bank Muamalat adalah perbankan Islam terkemuka yang komited untuk menyediakan "Kehidupan Lebih Baik, Bersama" dengan penyelesaian kewangan yang inovatif sejajar dengan prinsip Syariah. Dengan dedikasi untuk mencipta perubahan positif dalam industri kewangan dan fokus yang kukuh kepada kepuasan pelanggan, Bank Muamalat menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang disesuaikan untuk individu, perniagaan dan institusi.
Pautan gambar: https://drive.google.com/drive/folders/1qNtsQk9xAfOuYq2FXdANotZMeR9VOQ-6SUMBER: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Mohd Nazrul Hafizi
Tel: +6017 921 1384
E-mel: mohd.nazrul.hafizi@muamalat.com.my
Nama: Hawa Ali
Tel: +6019 239 2077
E-mel: siti.norhawa@muamalat.com.my
--BERNAMA