SUBVARIAN JN.1 TIDAK BERBAHAYA: TIDAK PERLU BIMBANG COVID-19

Khamis 12/06/2025

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tiada sebarang kebimbangan yang perlu wujud dalam kalangan masyarakat berhubung penularan Covid-19 dengan subvarian baru iaitu JN.1. Subvarian JN.1 adalah tidak merbahaya berbanding varian-varian di awal kemunculan Covid-19. Walaupun kebelakangan ini terdapat peningkatan kes Covid-19 dalam komuniti, purata kes mingguan kekal di bawah paras amaran kebangsaan dan setakat ini tiada kematian dilaporkan. Situasi ini adalah selaras dengan peralihan fasa hidup bersama Covid-19.

Malahan jangkitan akan dapat dikawal dengan memastikan tahap imunisasi dalam tubuh adalah baik. Justeru golongan berisiko tinggi digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos tambahan imunisasi Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan, komplikasi serius, dan kematian akibat jangkitan Covid-19.

Pemberian vaksin COVID-19 digalakkan kepada golongan berisiko tinggi yang terdiri daripada individu yang belum pernah menerima vaksin sebelum ini. Golongan tersebut termasuklah individu berumur 18 tahun dan ke atas, serta individu berumur 12 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi atau mengalami masalah sistem imun yang terjejas (immunocompromised), ibu hamil dan anggota kesihatan, terutamanya mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit.

Di samping itu, pemberian vaksin Covid-19 juga disyorkan kepada individu yang pernah menerima vaksin Covid-19 sebelum ini. Mereka terdiri daripada individu berumur 60 tahun dan ke atas, individu berumur 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi, individu berumur 12 tahun dan ke atas dalam kategori immunocompromised, ibu hamil dan anggota kesihatan.

Vaksin Covid-19 diberikan secara sukarela dan percuma di klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara (Rujuk pautan yang diberikan dan aplikasi MySejahtera untuk senarai penuh klinik terbabit). Individu yang layak boleh membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

KKM menasihatkan orang ramai untuk terus mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 dengan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau sanitasi tangan, mengamalkan etika batuk, serta memakai pelitup muka jika bergejala atau ketika berada di tempat sesak. Langkah-langkah ini penting untuk melindungi diri sendiri dan masyarakat daripada penularan Covid-19.

KKM juga akan terus memantau situasi Covid-19 dari semasa ke semasa dan maklumat terkini boleh diakses melalui pautan covid-19.moh.gov.my

KKM terus komited dalam memastikan kesihatan masyarakat diberikan keutamaan dan perkhidmatan kesihatan serta kawalan berhubung penularan sebarang wabak adalah pada tahap yang terbaik. Ini sejajar dengan nilai MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan.

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit
Melalui:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA

 

+