REFORMASI BIROKRASI PERAK: RM 300 JUTA FAEDAH LANGSUNG UNTUK RAKYAT & PERNIAGAAN

Isnin 16/06/2025

Table
Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, bersama para penerima sijil penghargaan projek siap di bawah inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB). Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), YBhg. Datuk Zahid Ismail. Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memperkasa kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui pelaksanaan projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang berimpak tinggi di peringkat negeri.


LUMUT, 16 Jun (Bernama) -- Tujuh projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang telah siap di Perak kini membuahkan pulangan bernilai RM300 juta dalam bentuk penjimatan kos kerajaan, peningkatan hasil kutipan dan kecekapan operasi.  14 projek lagi sedang dilaksanakan di seluruh negeri. Inisiatif ini ialah terjemahan nyata Deklarasi Kuala Lumpur, persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kerenah birokrasi, memacu produktiviti serta memudahkan kehidupan rakyat.
 
Urusan rakyat yang dahulu memakan masa berhari-hari kini diselesaikan dalam beberapa minit. Sistem dalam talian membolehkan permohonan dijejak dari rumah; langkah ini menghapuskan kos ulang-alik, mengurangkan beban pematuhan peraturan dan membebaskan masa untuk aktiviti yang lebih produktif. Penjimatan operasi kerajaan disalurkan pula kepada projek kemudahan awam seperti taman, klinik dan jalan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk.
 
Bagi peniaga, prosedur lesen dan permit yang lebih pantas menurunkan kos menunggu dan membantu aliran tunai. Syarikat dapat menumpukan modal serta tenaga kerja pada aktiviti bernilai tambah lebih cepat, memacu peningkatan produktiviti dan mewujudkan iklim perniagaan yang semakin cekap serta mesra pengguna.
 
“Apabila kerajaan pusat dan negeri bekerjasama, rakyat dan peniaga terus merasai faedahnya. Urusan jadi pantas, kos turun, hidup lebih mudah. Itulah matlamat sebenar reformasi ini,” kata Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
 
Reformasi ini bukan sekadar memendekkan prosedur; ia mengembalikan masa, menjimatkan wang dan meningkatkan produktiviti di setiap lapisan, daripada kaunter pejabat hingga ke lantai kilang. Kejayaan di Perak bakal menjadi penanda aras untuk negeri-negeri lain, seiring usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus dan menggerakkan ekonomi negara ke hadapan. 

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.  

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Mohd Khairil Anuar Amir Hamzah
Tel: 016-7928151
Emel: khairil@mpc.gov.my

Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019-7181804
Emel: nikhaneez@mpc.gov.my   

--BERNAMA 
+