KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Malam Anugerah Francais Malaysia 2025 bakal berlangsung pada Oktober ini, sekali lagi mengangkat martabat industri francais sebagai salah satu penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negara.
Acara anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kini memasuki edisi ke-27 penganjurannya. Anugerah ini merupakan satu platform yang bertujuan memperkasakan kemajuan serta memberi pengiktirafan kepada syarikat francais tempatan atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada industri.
Menurut Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata Majlis pelancaran MAF hari ini menandakan bermulanya satu lagi lembaran penting dalam usaha kita untuk mengiktiraf kejayaan dan pencapaian cemerlang para pemain industri francais tanah air. Anugerah ini bukan sahaja meraikan kecemerlangan, malah menjadi pencetus semangat untuk terus berinovasi dan berkembang dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
“Saya melihat pengiktirafan ini bukanlah satu noktah untuk para usahawan berpuas hati dengan kejayaan yang telah dikecapi.
Sebaliknya, ia merupakan titik permulaan untuk terus melangkah lebih jauh, berusaha dengan lebih gigih demi mengangkat produk-produk francais tempatan ke tahap yang setanding dengan jenama antarabangsa serta berdaya saing di peringkat global,” tambah beliau Ketika berucap di Majlis Pelancaran Malam Anugerah Francais 2025 dan Mesyuarat Agung Tahunan MFA.
Mesyuarat kali ini turut menyaksikan pemilihan barisan baharu Ahli Jawatankuasa Utama MFA bagi sesi 2025–2028. Datuk Dr. Radzali Hassan telah diberi mandat sekali lagi untuk meneruskan kepimpinan beliau sebagai Pengerusi MFA.
Sebanyak 21 anugerah daripada 6 kategori utama akan dipertandingkan, termasuk Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisor Antarabangsa, Kategori Francaisi, Kategori Terbuka, Kategori ESG dan Kategori Media.
Selain penyampaian anugerah, acara berprestij ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik seperti persembahan oleh artis terkemuka tanah air, sesi jaringan industri, jamuan makan malam dan pelbagai lagi aktiviti yang dirangka bagi memeriahkan suasana serta mengukuhkan hubungan dalam kalangan penggiat industri francais.
Kesemua anugerah akan disampaikan pada Malam Anugerah Francais yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2025. Majlis ini dijangka akan dihadiri oleh lebih 800 orang tetamu yang terdiri daripada penggiat industri francais, wakil-wakil kementerian dan agensi, badan-badan berkepentingan yang lain, pengamal media dan banyak lagi.
Terdahulu, Anugerah kategori Francais Terbaik pernah dimenangi oleh Daily Fresh, Focus Point, Global Art, Home Maths Therapy, Marrybrown, Oldtown White Coffee, Smart Reader Kids, Secret Recipe dan The Manhattan Fish Market sepanjang penganjurannya.
Bagi mendapatkan borang pencalonan dan keterangan lanjut berkaitan anugerah, sila layari
www.mfa.org.my/awards Objektif utama penganjuran Anugerah Francais Malaysia ialah untuk:
· Memberi pengiktirafan kepada penggiat–penggiat francais yang telah memberi sumbangan kepada industri francais di Malaysia.
· Menggalakkan amalan terbaik, inovasi dan mempromosikan persaingan yang sihat dalam usaha meningkatkan kemajuan perniagaan dan mewujudkan industri francais yang lebih berdaya saing.
· Memberikan penghargaan di atas sumbangan dan sokongan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak ke arah memajukan lagi industri francais di Malaysia.
· Mengeratkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan ahli MFA serta semua pihak yang terlibat di dalam industri francais.
· Meningkatkan standard, kualiti dan prestij Anugerah Francais Malaysia ke tahap antarabangsa.