PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Sukacita dimaklumkan bahawa Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM), di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah membuat keputusan sebulat suara untuk melanjutkan tempoh peralihan pendaftaran pengamal profesion kesihatan bersekutu selama 18 bulan,
iaitu kepada 31 Disember 2026 berbanding tarikh akhir asal pada 30 Jun 2025. Keputusan ini telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat MPKBM Ke-13 (Bil. 2/2025) setelah mengambil kira keperluan untuk memastikan pelaksanaan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 [Akta 774] dapat dijalankan secara menyeluruh dan berkesan, serta mengambil kira pertimbangan dasar, kepentingan pengamal dan kesejahteraan awam.
Pelanjutan ini bertujuan memberi ruang masa yang mencukupi kepada semua pengamal, khususnya dari sektor swasta, untuk melengkapkan dokumentasi dan memenuhi syarat-syarat pendaftaran serta permohonan perakuan amalan. Langkah ini juga bagi membolehkan penyelarasan data pengamal secara nasional dilaksanakan dengan lebih tepat, seterusnya menyokong sistem pengesahan amalan yang sah dan meningkatkan ketelusan dalam pemantauan perkhidmatan kesihatan.
Selaras dengan usaha memperkukuh sistem kawal selia, MPKBM akan memperkenalkan modul baharu dalam sistem atas talian
Malaysian Health Practitioners System (MHPS) bagi permohonan dan pengeluaran perakuan amalan mulai Jun 2025. Setiap pengamal kesihatan bersekutu berdaftar diwajibkan memperoleh perakuan amalan sebelum tamat tempoh peralihan (31 Disember 2026) bagi menjalankan amalan secara sah.
Sehubungan itu, semua individu yang menjalankan amalan dalam mana-mana profesion kesihatan bersekutu seperti yang disenaraikan dalam Jadual Kedua Akta 774 adalah diwajibkan untuk:
a) Mengemukakan permohonan pendaftaran kepada MPKBM sebelum atau pada 31 Disember 2026; dan
b) Memperoleh perakuan amalan yang sah dalam tempoh pelanjutan yang ditetapkan.
Sebarang amalan tanpa pendaftaran dan perakuan amalan yang sah
selepas tarikh tersebut adalah menjadi
satu kesalahan dan
boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 774. Akta ini diwujudkan bagi melindungi masyarakat dengan memastikan amalan hanya dijalankan oleh individu yang berkelayakan, kompeten dan beretika. Orang awam juga disarankan mendapatkan perkhidmatan hanya daripada pengamal berdaftar dengan perakuan amalan yang sah bagi menjamin kualiti dan keselamatan rawatan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu di
https://hq.moh.gov.my/alliedhealth/index.php/ms/ atau hubungi Sekretariat MPKBM melalui maklumat yang tertera di laman web berkenaan.
Dikeluarkan oleh: Pejabat Pengerusi Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia Melalui: Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Timothy Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my
--BERNAMA