YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz CYBERJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia mengumumkan pelantikan YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sebagai Pengerusi SEDA Malaysia yang baharu berkuat kuasa mulai 15 Mei 2025.
Beliau berkhidmat sebagai Anggota Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia sejak Ogos 2024. YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan memiliki pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah menjawat jawatan sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara, Ketua Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di beberapa agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.
Pihak Berkuasa mengalu-alukan kepimpinan YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan untuk menerajui Pihak Berkuasa dalam membangunkan agenda Tenaga Lestari negara dan mencapai sasaran 70% campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050. SEDA Malaysia juga mengucapkan terima kasih kepada YBrs. Tuan Ahmad Zairin Ismail atas sumbangan serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa yang lalu.
TENTANG SEDA MALAYSIAPihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). SEDA Malaysia ditubuhkan pada September 2011 di bawah Akta SEDA 2011 [Akta 726] dengan fungsi utamanya adalah menjalankan Mekanisme Tarif Galakan (FiT) dan membangunkan industri Tenaga Lestari negara.
SUMBER: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : En. Roslan Ali@Hassan
(Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Strategik)
Tel : 012-377 6983
E-mel : SC@seda.gov.my / roslan@seda.gov.my
--BERNAMA