Rabu 25/06/2025
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah menubuhkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) dalam usaha meneruskan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.
Jawatankuasa yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini, akan menyelaras pendekatan menyeluruh untuk merangka dan melaksanakan langkah-langkah secara kolaboratif yang sejajar dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare).
JBMKKS dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad, dengan keanggotaan terdiri daripada wakil MOF, KKM, dan Bank Negara Malaysia (BNM). Jawatankuasa ini akan disokong oleh Majlis Perundingan, yang memberikan input dan nasihat teknikal. Majlis ini dianggotai oleh wakil-wakil utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan swasta, termasuk hospital swasta, profesional kesihatan, penyedia insurans dan pengendali Takaful, kumpulan advokasi pengguna, serta pihak akademik. Senarai ahli Jawatankuasa dan Majlis Perundingan boleh dirujuk dalam lampiran siaran akhbar ini.
“Peningkatan kos penjagaan kesihatan merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia—dan Kerajaan MADANI mengambil langkah proaktif untuk menanganinya. Jawatankuasa bersama ini mencerminkan komitmen kita untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membentuk sistem penjagaan kesihatan swasta yang mampan, telus dan benar-benar memberi nilai. Pada asasnya, ini adalah tentang melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia dan mengukuhkan daya tahan negara kita,” kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah.
JBMKKS dibina atas usaha yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk pelaksanaan keperluan pembayaran bersama (co-payment) oleh BNM, langkah interim bagi mengurangkan impak pelarasan premium perubatan kepada pemegang polisi yang terkesan pada tahun 2024 hingga 2026, serta kerangka RESET yang merangkumi lima (5) teras strategik untuk menangani inflasi perubatan, iaitu menyusun semula Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh ekosistem Kesihatan Digital, mengembangkan pilihan penjagaan kos efektif, dan menyusun semula pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan. RESET telah mendapat sokongan yang meluas daripada MOF, KKM, BNM dan pihak industri yang utama sebagai kerangka strategik untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan insurans swasta.
Melangkah ke hadapan, Jawatankuasa ini akan menjadi platform utama untuk membimbing dan memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah RESET. Kerja-kerja ke atas inisiatif penting ini telah bermula, khususnya dalam pembangunan produk asas MHIT yang mengimbangi kemampuan dan kemampanan, pembangunan sistem pembayaran berdasarkan Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG) untuk pelaksanaan secara berfasa, serta peningkatan ketelusan maklumat harga.
Bagi pemegang polisi insurans perubatan sedia ada, langkah-langkah ini bertujuan untuk memastikan ketelusan harga yang lebih baik dan pada masa yang sama, menawarkan pilihan yang lebih mampu milik. Sepanjang tempoh jawatankuasa ini berkuatkuasa, langkah-langkah untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik akan diteruskan, termasuk dengan memperkukuh peranan penjagaan kesihatan primer dan kesinambungan penyedia penjagaan kesihatan, berasaskan langkah-langkah yang telah diumumkan sebelum ini seperti inisiatif Rakan KKM.
YB Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly berkata bahawa kerangka RESET yang dibangunkan secara bersama ini turut merangkumi usaha KKM yang sedang dan akan dilaksanakan untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia untuk semua.
“Kerangka ini turut mencerminkan komitmen secara menyeluruh untuk melaksanakan penyelesaian seperti penjagaan berasaskan nilai, yang mengutamakan hasil kesihatan melalui pelaksanaan berfasa DRG serta peluasan pilihan penjagaan kesihatan dengan harga yang berpatutan untuk rakyat. Inisiatif sebegini akan memberikan manfaat nyata kepada semua rakyat Malaysia melalui pengurangan kesesakan dan kepadatan di hospital dan klinik awam,” tambah beliau.
JBMKKS sedar bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif RESET yang menyeluruh bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak. Oleh itu, Majlis Perundingan amat penting dalam mengukuhkan komitmen Kerajaan MADANI untuk menyediakan platform khusus bagi pihak industri utama berganding bahu dan menyumbang kepakaran ke arah matlamat bersama, iaitu memastikan penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik dan mudah diakses untuk semua rakyat Malaysia, sambil merangsang pertumbuhan sektor yang mampan.
Kementerian Kewangan
Kementerian Kesihatan
Putrajaya
24 Jun 2025
Sila klik di sini LAMPIRAN
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my
--BERNAMA