MPC PACU PENGURUSAN MODEN DI MBSA MELALUI PENJANAAN INOVASI DAN TRANSFORMASI QE 5.0

Khamis 26/06/2025



Table
Sesi penyerahan sijil oleh Encik Mokhzani Aris Mohd Yusoff (MPC) kepada YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi bin Haji Mohd Yatim, Datuk Bandar MBSA, disaksikan oleh Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling, Datuk Haji Emran bin Haji Kadir dan barisan pengurusan kanan MBSA.


SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju produktiviti melalui peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan moden sektor awam apabila berjaya memimpin Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatat satu pencapaian bersejarah apabila dianugerahkan Sijil Pensijilan QE 5.0 dengan penarafan 5 bintang, hasil pelaksanaan cemerlang inisiatif transformasi digital dan kelestarian organisasi.

Audit yang dijalankan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melibatkan semakan dokumen, lawatan tapak, dan sesi temubual kakitangan. Hasilnya, MBSA berjaya melaksanakan 20 projek Proof of Concept (POC) strategik yang menyumbang kepada penjimatan dan nilai inisiatif hampir RM20 juta, yang melibatkan elemen Pendigitalan Proses, Kelestarian, Kesejahteraan, Produktiviti, Inovasi dan pengukuhan budaya kerja, serta peningkatan kepuasan pelanggan.

Majlis penyerahan sijil telah disempurnakan oleh Encik Mokhzani Aris Mohd Yusoff, Ketua Seksyen Pembangunan dan Pelaksanaan QE 5.0, MPC, mewakili Ketua Pengarah MPC, YBhg. Datuk Zahid Ismail, kepada YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi bin Haji Mohd Yatim, Datuk Bandar MBSA. Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling, Datuk Haji Emran bin Haji Kadir serta barisan pengurusan kanan dan seluruh kakitangan MBSA.

Zahid dalam kenyataan beliau menegaskan bahawa MPC sentiasa komited untuk membimbing organisasi awam dan swasta ke arah pengurusan moden berasaskan produktiviti, inovasi dan pendigitalan.

“MBSA telah membuktikan bahawa dengan pendekatan sistematik dan berpandukan model QE 5.0, perubahan menyeluruh dalam budaya kerja dan penyampaian perkhidmatan boleh dicapai. MPC bangga menjadi pemangkin kepada transformasi ini.”

Tambah beliau lagi,

“MPC percaya kejayaan MBSA boleh dijadikan rujukan nasional dalam penyediaan perkhidmatan bandar yang cemerlang dan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi negara menuju RMK13.”

Sementara itu, Mohd Fauzi, Datuk Bandar MBSA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MPC atas peranan aktifnya dalam membimbing MBSA sepanjang perjalanan pensijilan.

“Pensijilan ini bukan sahaja satu pengiktirafan, tetapi simbol kepercayaan terhadap usaha pembaharuan yang dilaksanakan. Terima kasih kepada MPC atas bimbingan, dorongan dan pendekatan strategik yang telah membantu MBSA menjadi organisasi perbandaran yang lebih moden dan efisien serta lestari.”

Beliau turut menyatakan bahawa pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada pembudayaan kecemerlangan yang berterusan dalam perkhidmatan awam tempatan.

“Kami komited untuk memastikan kejayaan ini bukan bersifat sementara, tetapi menjadi asas kukuh dalam membina Shah Alam sebagai bandar raya mampan dan pintar untuk generasi akan datang. Diharapkan agar pengiktirafan ini dapat menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan pengurusan moden yang berterusan di MBSA.”

Kejayaan ini sekali gus menobatkan MBSA sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia menerima Sijil QE 5.0 dengan penarafan tertinggi, dan memberi isyarat jelas tentang keupayaan MPC dalam mentransformasikan sektor awam ke arah tadbir urus yang progresif dan mampan.  

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.   

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi 
Tel: 019-7181804 
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my  

Nama: Sabri bin Hasan
Tel: 012-6373306 
E-mel:  Sabri@mpc.gov.my   

--BERNAMA
+