KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Dengan rasa dukacita yang amat mendalam, Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan semua warga IKIM, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 11.27 pagi, 26 Jun 2025 bersamaan 29 Zulhijjah 1446 Hijri di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Kami memanjatkan doa yang setinggi-tingginya kepada Allah SWT, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para anbia, syuhada dan solihin.
YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty telah dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023 hingga kini.
Pemergian Allahyarham Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam, khususnya dalam bidang dakwah, pendidikan, pembangunan modal insan, keilmuan dan pemikiran Islam.
Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, 76 tahun, memulakan pendidikan di Kolej Islam Malaya di Klang, Selangor sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Islam dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dari tahun 1970 hingga 1974.
Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di University of Temple, Amerika Syarikat dari 1978 hingga 1987 dalam bidang pemikiran Islam dan perbandingan agama.
Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam di UKM, selain bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Profesor Madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dari 1983 hingga 1999.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Dekan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Dekan di Pusat Pengajian Lanjutan dan Khidmat Masyarakat, UIAM selama lima tahun dari 1990.
Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai Senator di Dewan Negara bermula 17 Disember 2015 hingga 16 Disember 2018. Beliau juga merupakan Ketua Majlis Istisyari WADAH, mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Mari bersama-sama kita sedekahkan al-Fatihah
Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
26 Jun 2025
29 Zulhijjah 1446 Hijri
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: HARUZI BIN ISMAIL
Penolong Pegawai Tadbir Kanan
Unit Perhubungan Korporat (UPK)
Tel : 603-5886 1506(D/L) / +6010-402 6200(HP)
E-mel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA