Jumaat 04/07/2025
Dari kiri: Datuk Ts. Fadzli Abdul Wahit, Naib Presiden Kanan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Tuan Haji Burhanuddin, Pengarah Urusan dan Pengasas, Les’ Copaque Production. Sdn. Bhd, Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia, Dato’ Gerald Hans Isaac, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Mr. Stefan Baier, Pengarah Global Studios & Pengasas Bersama of Streamline Studios
MERAIKAN 20 TAHUN LEGASI LES’COPAQUE PRODUCTION
“Pengembaraan dunia terbuka yang menyentuh hati, diinspirasikan oleh budaya Asia Tenggara dan siri animasi kesayangan ramai.”
KUALA LUMPUR, Malaysia, 4 Julai (Bernama) -- Les’ Copaque Production dan Streamline Studios hari ini mengumumkan bahawa Upin & Ipin Universe, permainan pengembaraan dunia terbuka yang dinanti-nantikan dan diinspirasikan daripada siri animasi kesayangan Asia Tenggara Upin & Ipin, akan dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai. Permainan ini akan tersedia di PC melalui Steam dan Epic Games Store, PlayStation 4 dan 5, serta Nintendo Switch, menandakan satu pencapaian besar bagi francais yang diiktiraf di peringkat global.
Diperkenalkan semasa “Southeast Asia Summer Showcase”, Upin & Ipin Universe telah memukau penonton dengan treler permainan sulung yang penuh warna dan bertenaga. Rakaman tersebut memberikan gambaran awal tentang dunia permainan yang kaya dengan elemen budaya, menggabungkan rasa nostalgia dengan mekanik permainan moden. Sebagai permainan pengembaraan dunia terbuka, ia mengajak pemain untuk meneroka keindahan kehidupan tradisional Asia Tenggara melalui penceritaan interaktif dan pengalaman eksplorasi yang imersif.
Saksikan trelernya di sini : https://www.youtube.com/@UpinIpinUniverseOfficial
Sebagai ikon budaya yang mencerminkan nilai-nilai Malaysia, Upin & Ipin telah memainkan peranan penting dalam mengetengahkan penceritaan tempatan dan membina jati diri nasional. Penglibatan dalam industri permainan digital membuka peluang untuk IP ini berkembang bersama generasi baharu, sambil memperkenalkan keunikan budaya Malaysia ke pentas global. Langkah strategik ini mengukuhkan kedudukan Upin & Ipin sebagai harta intelek kebangsaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Upin & Ipin Universe membuka lembaran baharu — daripada TV dan filem ke pengalaman interaktif bertaraf global. Sempena ulang tahun ke-20 Les’ Copaque, pelancaran ini mencerminkan komitmen kami untuk terus berinovasi dan mencipta detik-detik bermakna buat seisi keluarga di seluruh dunia.” kata Haji Burhanuddin Md Radzi, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production.
Dibangunkan oleh Streamline Studios, Upin & Ipin Universe ialah permainan dunia terbuka yang menampilkan kempen naratif melebihi 12 jam. Ia dibangunkan untuk menarik minat pemain di peringkat global tanpa mengetepikan akar budayanya. Reka bentuk permainan ini menonjolkan elemen budaya Asia Tenggara, menjadikannya sebuah pengembaraan mesra keluarga yang sarat dengan nilai budaya. Upin & Ipin Universe akan diperkenalkan buat julung kalinya di Japan Expo di Paris, hari ini.
“Upin & Ipin Universe bukan sekadar sebuah permainan; ia adalah surat cinta kepada budaya dan tradisi Asia Tenggara yang penuh warna dan kehidupan." kata Alexander Fernandez, CEO Streamline Media Group.
“Sejak memulakan operasi di Malaysia pada tahun 2010, kami telah membantu perkembangan industri tempatan menjadi sebuah ekosistem yang semakin pesat membangun. Malaysia kini muncul sebagai kuasa kreatif dalam animasi, pembangunan permainan, dan penceritaan interaktif. Upin & Ipin Universe adalah bukti bahawa kisah yang lahir dari Malaysia bukan sahaja mendapat tempat di tanah air, tetapi turut menyentuh hati di seluruh dunia.”
Dengan gabungan unik antara permainan yang menghiburkan, tema yang dekat dengan budaya, dan pesona ikonik Upin & Ipin, permainan ini bersedia untuk mencipta impak besar dalam genre pengembaraan dunia terbuka. Streamline Studios komited untuk menyampaikan pengalaman berkualiti tinggi yang mampu menarik minat pemain dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Tandakan kalendar anda pada 17 Julai ini dan bersiap sedia untuk menyertai pengembaraan hebat dalam Upin & Ipin Universe!
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami dan ikuti kami di media sosial:
Laman web Rasmi: upinipinuniverse.com
● Facebook: https://www.facebook.com/upinipinuniverseofficial/
● Instagram: https://www.instagram.com/UpinIpinUniverseOfficial/
● YouTube: https://www.youtube.com/@upinipinuniverseofficial
Tentang Pembangun Permainan
Sebuah projek yang meraikan budaya Asia Tenggara, dijayakan oleh pasukan berdedikasi yang penuh semangat untuk berkongsi kegembiraan dan nilai murni Upin & Ipin ke seluruh dunia.
Tentang Les’ Copaque Production
Ditubuhkan pada tahun 2005, Les’ Copaque Production merupakan studio animasi terkemuka di Malaysia dan pencetus kreatif di sebalik francais Upin & Ipin—sebuah fenomena budaya yang telah meraih pelbagai anugerah serta memikat penonton di seluruh dunia. Dengan siaran Upin & Ipin di lebih 100 buah negara dan produk pemenang anugerah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, studio ini turut berjaya menerbitkan filem cereka, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, yang telah tersenarai dalam 32 judul awal untuk pencalonan Anugerah Oscar 2019 bagi kategori Filem Animasi Terbaik. Les’ Copaque terus memacu inovasi dalam penceritaan serta memperluas harta intelek kesayangannya merentas pelbagai format hiburan. Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.lescopaque.com.
Tentang Streamline Studios
Streamline Studios, sebuah divisyen di bawah Streamline Media Group, merupakan peneraju global dalam pembangunan permainan video, dengan pengalaman lebih dua dekad dalam menyampaikan permainan bertaraf AAA dan perkhidmatan teknikal. Dengan kepakaran dalam pembangunan bersama (co-development), pembangunan penuh permainan, dan kejuruteraan permainan, Streamline Studios telah menyumbang kepada beberapa judul ikonik dalam industri, termasuk Street Fighter V, Final Fantasy XV, Marvel vs. Capcom: Infinite, Killer Instinct, dan Mortal Kombat.
Sama ada membangunkan harta intelek asli (original IP) atau bekerjasama dengan penerbit dan pembangun permainan lain, Streamline Studios komited untuk meneroka sempadan baharu dalam pembangunan permainan video. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.streamline-studios.com.
Tentang Streamline Media Group
Streamline Media Group (SMG) merupakan syarikat media dan hiburan bertaraf global yang menerajui inovasi dalam pembangunan permainan video, penerbitan kandungan, serta penyelesaian “Beyond Games”. Dengan kepakaran dalam teknologi permainan digital, SMG memacu transformasi merentas industri seperti fesyen, sukan, hiburan dan jenama mewah menerusi pengalaman imersif, pembangunan metaverse, “digital twins”, dan penglibatan jenama interaktif.
Sebagai syarikat induk kepada Streamline Studios, SMG mempunyai rekod pencapaian selama lebih 24 tahun, dengan penyertaan dalam ratusan judul permainan AAA bersama jenama terkemuka seperti Capcom, PlayStation dan Epic Games. Di bawah divisyen penerbitannya, SMG telah membangunkan dan melancarkan judul asli seperti HoopWorld, Axon Runners, Nightstream, dan Bake ‘n Switch, yang menggabungkan penceritaan kreatif dan keupayaan teknikal bertaraf dunia. SMG turut menerbitkan Video Games Real Talk, sebuah podcast yang memenangi anugerah yang mengupas dunia perniagaan permainan video serta menampilkan pandangan daripada peneraju industri.
Beroperasi di Malaysia, Colombia, Jepun dan Amerika Syarikat, SMG didukung oleh pasukan pelbagai budaya serta platform proprietari seperti Streamframe yang membolehkan penyampaian pengalaman digital yang transformatif. Untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana SMG membentuk masa depan hiburan dan Beyond Games, sila layari www.streamline-mediagroup.com.
SUMBER: Les’ Copaque Production
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Mohd Zarin Bin Abdul Karim
Tel: 012-2399327
E-mel: zarin@lescopaque.com
--BERNAMA