Jumaat 01/08/2025
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Sustainability Shared Prosperity Organisation Assessment (SSPOA) diwujudkan pada tahun 2023 untuk menghargai syarikat yang bukan sekadar cari untung tetapi juga menjaga warga kerja, sayang alam sekitar dan ambil berat tentang masyarakat. Pengiktirafan ini lahir daripada rasa hormat kepada usaha yang jujur dan bertanggungjawab. Syarikat yang percaya kejayaan sebenar datang bila semua dapat rasa manfaatnya. Penilaian dibuat berdasarkan lima perkara penting iaitu warga kerja (People), cara kerja (Process), kualiti produk (Product), kesejahteraan bersama (Prosperity) dan penjagaan bumi (Planet). Inilah cara kita membentuk masa depan yang lebih adil dan mampan bersama.
SSPOA menjadi penanda aras nasional bagi organisasi yang mengintegrasikan struktur upah dan insentif berasaskan produktiviti, kemakmuran bersama dan pematuhan ESG dalam strategi perniagaan dan sebanyak 64 syarikat telah diiktiraf setakat ini.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Zahid Ismail berkata, “Bila syarikat bayar gaji yang adil ikut prestasi, jaga alam sekitar dan ambil berat tentang pekerja serta masyarakat, syarikat jadi lebih produktif, lebih dipercayai, dan boleh bersaing dengan lebih baik. Ini bukan soal untung sahaja, tapi cara syarikat maju dengan bertanggungjawab.”
“SSPOA bukan sekadar anugerah, tapi usaha bersama untuk jadikan tempat kerja lebih baik, lebih terbuka dan bermanfaat untuk semua. Inilah cara kita capai kemakmuran bersama, tingkatkan hasil kerja dan bantu syarikat Malaysia bersaing di dalam dan luar negara.” ujar beliau di Majlis Pengiktirafan SSPOA 2025 di Petaling Jaya 28 Julai yang lalu.
Pencapaian Malaysia ke tangga ke‑23 dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025, tertinggi sejak 2020, mencerminkan keberkesanan strategi produktiviti berteraskan tenaga kerja. Berdasarkan penilaian 2024-2025, syarikat yang diiktiraf SSPOA berjaya menurunkan kos operasi purata sebanyak 20 peratus disamping pada masa yang sama meningkatkan produktiviti buruh 15 peratus. Penemuan ini menunjukkan nilai tambah SSPOA jauh melampaui sekadar pensijilan reputasi.
Apabila syarikat melaksanakan komponen teras SSPOA—iaitu pengukuran produktiviti, sistem upah berasaskan prestasi, semakan tenaga dan bahan secara berkala—mereka mencapai kecekapan proses yang mampu menurunkan kos (contoh: susut 20 peratus dalam penggunaan tenaga, penjimatan 12 peratus masa henti mesin). Pada masa yang sama, produktiviti buruh dapat dioptimumkan dan menghasilkan lonjakan output per pekerja sebanyak 15 peratus tanpa menambah tenaga kerja baharu.
Kesan gabungan penjimatan kos dan kenaikan nilai tambah ini bermaksud margin operasi firma meningkat, menghasilkan dana dalaman untuk pelaburan semula—sama ada dalam latihan kemahiran atau teknologi, tanpa menekan aliran tunai. Lebih penting, struktur kemakmuran bersama memastikan sebahagian keuntungan produktiviti diagihkan semula sebagai bonus atau insentif, sekaligus memacu motivasi kakitangan dan mengurangkan kadar keluar masuk. Model “win-win” ini menghubungkan kemakmuran bersama dengan daya saing jangka panjang: firma mendapat kos unit lebih rendah, pekerja menikmati imbuhan lebih baik, dan negara memperoleh syarikat yang lebih produktif, inovatif serta berdaya tahan menghadapi tekanan kos global.
Pengiktirafan tahun ini memperlihatkan lebih banyak syarikat melaksanakan model upah dan insentif berasaskan produktiviti sambil memperkukuh tanggungjawab sosial dan alam sekitar, sekaligus menyokong keutamaan WCR dalam menarik dan mengekalkan bakat.
Sebagai agensi di bawah MITI, MPC juga memacu inisiatif berimpak tinggi seperti Akademi dalam Industri (ADI), Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Program Transformasi AI, serta Productivity in Context merentas 14 nexus bagi membantu perusahaan mengenal pasti dan melaksanakan penambahbaikan produktiviti di peringkat firma. MPC mengalu‑alukan lebih banyak organisasi menyertai kerangka SSPOA sebagai landasan ke arah pengiktirafan nasional dan kecemerlangan produktiviti jangka panjang.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019-7181804
Email: nikhaneez@mpc.gov.my
Nama: Dr. Suriati Zainal Abidin
Tel: 012-5840686
Email: ati@mpc.gov.my
--BERNAMA