MiSI 2.0: Program Kemahiran yang Menjamin Pekerjaan untuk Belia India Malaysia

Jumaat 08/08/2025


Table
Wakil TalentCorp memberi penerangan kepada calon belia India mengenai MiSI 2.0 dalam salah satu program jangkauan MiSI 2.0. 


PETALING JAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), melalui agensinya Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), membuka peluang untuk semua belia India Malaysia yang layak untuk memohon program Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI) 2.0. Program yang disokong penuh oleh Kerajaan ini, menawarkan latihan kemahiran yang dibiayai sepenuhnya dan diselaraskan terus dengan peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi utama Negara.
 
MiSI 2.0 merupakan sebuah inisiatif berasaskan pencapaian hasil. Peserta akan mengikuti latihan khusus yang dirangka berdasarkan keperluan sebenar industri, dengan jaminan penempatan kerja selepas tamat program. Tempoh latihan adalah antara satu hingga enam bulan, bergantung kepada sektor yang diceburi, dan peserta akan menerima sijil yang diiktiraf industri setelah tamat latihan. Antara sektor tumpuan termasuk Elektrik dan Elektronik (E&E), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Aeroangkasa, Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS), Pemprosesan Makanan, Pelancongan dan Peruncitan.
 
“MiSI 2.0 bukan sekadar latihan. Ia tentang penempatan kerja, mobiliti gaji dan membina kerjaya dalam sektor yang memerlukan bakat tempatan,” kata Sivakumeren A. Narayanan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan TalentCorp.
 
“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 500 penempatan pekerjaan menjelang November 2025, dengan gaji permulaan yang kompetitif bermula dari RM3,000 ke atas. Matlamat kami adalah untuk menyokong belia Malaysia mendapatkan pekerjaan yang bermakna dan membina masa depan yang membanggakan,” tambah beliau.
 
Hasil awal daripada pelaksanaan program ini, menunjukkan impak yang memberangsangkan. Peserta MiSI 2.0 telah berjaya mendapat peluang pekerjaan di syarikat ternama seperti NXP Malaysia dan Dell Global, dengan kadar gaji yang mencerminkan peningkatan pendapatan serta potensi permulaan kerjaya yang kukuh.
 
Antara bidang latihan kemahiran yang ditawarkan merangkumi reka bentuk Litar Bersepadu (IC), fabrikasi wafer dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) di bawah sektor E&E; pembangunan perisian, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan pengkomputeran awan di bawah sektor ICT; penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) serta pembuatan bagi sektor Aeroangkasa; dan sumber manusia, kewangan serta perkhidmatan pelanggan dalam sektor Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).
 
Program ini dibangunkan berdasarkan data kebangsaan termasuk Senarai Pekerjaan Kritikal Malaysia (MyCOL) dan dipacu oleh Majlis MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) TalentCorp — sebuah platform libat urus yang diketuai oleh pemain industri dan berasaskan sektor. Semua laluan latihan dibangunkan dengan penglibatan majikan bagi memastikan kesesuaian industri dan kebolehpasaran pekerjaan peserta.
 
Antara syarat kelayakkan adalah, pemohon mestilah seorang warganegara Malaysia yang berketurunan India, berumur antara 18 hingga 40 tahun, dengan kelayakan minimum SPM, SKM, Diploma atau Ijazah, tidak bekerja atau sedang mencari peluang untuk meningkatkan kerjaya.
 
Calon yang berminat boleh memohon melalui laman sesawang TalentCorp www.talentcorp.com.my/misi. Selepas pendafataran berjaya dilakukan, pihak TalentCorp akan membuat semakan lanjut untuk setiap permohonan dan memadankan calon dengan laluan latihan dan penempatan yang sesuai. Penempatan kerja adalah dijamin selepas berjaya menamatkan latihan.
 
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.talentcorp.com.my/misi atau emel ke misi@talentcorp.com.my

Mengenai Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan strategi bakat negara Malaysia. TalentCorp bekerjasama dengan pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta bagi menarik, membangun serta mengekalkan bakat yang diperlukan oleh Malaysia, kini dan pada masa hadapan. Bermula Mac 2024, TalentCorp juga berperanan sebagai badan pemikir strategik bagi KESUMA, menyokong pembangunan dasar dan penyelesaian kolaboratif bagi memenuhi keperluan tenaga kerja Malaysia yang sentiasa berkembang.
 
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif TalentCorp, layari
www.talentcorp.com.my ataupun ikuti @TalentCorpMsia di media sosial LinkedIn, Twitter, Facebook dan Instagram. 

SUMBER: Talent Corporation Malaysia Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Ahmad Anis
Tel: 019-390 5987
E-mel: anis.kamil@talentcorp.com.my 

Nama: Hajar Umira
Tel: 018-947 3006
E-mel: umira.zaki@talentcorp.com.my  

--BERNAMA
 
+