PCG Berdepan Cabaran pada Suku Kedua, Langkah Strategik Diambil untuk Memperkukuh Ketahanan

Rabu 13/08/2025

 
 
· Pendapatan sebanyak RM6.4 bilion
· EBITDA RM395 million
· Pengagihan dividen sebanyak RM240 juta
 
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG atau Kumpulan), mengumumkan keputusan kewangan bagi suku kedua (2Q 2025) serta dividen interim berjumlah RM240 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Pada 2Q 2025, PCG mencatatkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) serta penurunan Pendapatan, setelah melalui gangguan dalaman dan luaran kepada operasi susulan ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di Timur Tengah dan pengumuman tarif yang menjejaskan harga minyak mentah serta melemahkan nilai mata wang Dolar Amerika Syarikat.
 
Pendapatan Kumpulan menurun sebanyak 16% berbanding suku sebelumnya kepada RM6.4 bilion, disebabkan oleh jumlah jualan dan harga purata produk yang lebih rendah. Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) turun 56% berbanding suku sebelumnya kepada RM395 juta, akibat pengurangan penyebaran produk urea dan metanol serta sumbangan rendah daripada Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PPCSB) berikutan kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi. Kumpulan mencatatkan LAT sebanyak RM1.0 bilion, disebabkan oleh EBITDA yang rendah, pelupusan aset di Perstorp, kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPCSB serta peningkatan perbelanjaan kewangan daripada pelarasan masa pembayaran perdagangan belum bayar di PPCSB.
 
Sorotan utama 2Q 2025 berbanding 1Q 2025: 
 
· Purata kadar penggunaan loji Kumpulan dicatatkan pada 77% (1Q 2025: 94%) kerana gangguan bekalan bahan suapan serta beberapa aktiviti pembaikan dan penyelenggaraan yang berjalan pada suku ini.
· Pendapatan berkurangan 16% kepada RM6.4 bilion (1Q 2025: RM7.7 bilion) disebabkan oleh jumlah jualan serta purata harga produk rendah.
· Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun 56% kepada RM395 juta (1Q 2025: RM892 juta) akibat pengurangan penyebaran produk serta kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi daripada penilaian semula perdangangan belum bayar di PPCSB. 
· Kerugian Selepas Cukai (LAT) dicatatkan pada RM1.0 bilion (1Q 2025: Keuntungan Selapas Cukai (PAT) RM18 juta) disebabkan oleh kesan pertukaran mata wang asing yang tidak memuaskan terhadap penilaian semula pinjaman pegang kepada PPCSB dan pelupusan aset di Perstorp.  
· Dividen interim sebanyak 3 sen sesaham, telah diumumkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Jumlah dividen sebanyak RM240 juta, akan dibayar pada September 2025.

Ringkasan perbandingan kewangan 2Q 2025:
 2Q 2025 1Q 2025
Pendapatan (RM juta)6,4377,656
EBITDA (RM juta)395892
EBITDA Terlaras, tanpa kesan tukaran mata wang asing (RM juta) 632 950
EBITDA Margin (%)6.111.7
Margin EBITDA Terlaras, tanpa kesan tukaran mata wang asing (%) 9.8 12.4
(LAT)/PAT (RM juta)(1,047)18
(LAT)/PAT Terlaras, tanpa kesan tukaran mata wang asing dan butiran luar biasa (RM juta) (107) 210
 
Bagi separuh FY2025 yang pertama, pendapatan Kumpulan turun 7% berbanding tahun sebelumnya kepada RM14.1 bilion, sebahagian besarnya akibat kesan pertukaran mata wang asing susulan pengukuhan Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat dan purata harga produk rendah. Pada RM1.3 bilion, EBITDA Kumpulan turun 43% berikutan pengurangan penyebaran produk, terutamanya dari bahagian Olefin & Derivatif (O&D), dan kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi daripada penilaian semula perdagangan belum bayar PPCSB. Kumpulan mencatatkan LAT sebanyak RM1.0 bilion akibat pelarasan masa pembayaran perdagangan belum bayar di PPCSB, pelupusan aset Perstorp, kerugian pertukaran mata wang asing belum terealisasi daripada penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPCSB, serta susut nilai dan kos kewangan tinggi di PPCSB.
 
Syarikat telah mengumumkan dividen interim sebanyak 3 sen sesaham biasa, dengan jumlah pulangan RM240 juta kepada pemegang saham, mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memberikan pulangan kepada pemegang saham.
 
Ulasan Strategi

Bagi menangani keadaan industri yang kian mencabar, Kumpulan mempergiatkan kajian semula portfolio, pengoptimuman kos, serta penstrukturan semula (rightsizing) organisasi. Kumpulan juga sedang mengkaji semula pelaburannya dalam syarikat usaha sama dan bersekutu.
 
Pada bahagian O&D serta Baja & Metanol (F&M), beberapa inisiatif ini mensasarkan peningkatan pulangan bersih jualan dan memperkasakan kecekapan logistik serta pelarasan pemulihan dan penyelenggaraan untuk memaksimumkan hasil pengeluaran. Bagi bahagian Kimia Khusus, Kumpulan meneruskan langkah pengoptimuman tapak pembuatan, rantaian bekalan dan logistik untuk menyokong pembangunan dalam empat bidang utama: resin & salutan, penjagaan diri, cecair kejuruteraan, dan penyelesaian polimer terkini.
 
Usaha-usaha ini bertujuan untuk memperkasa kecekapan operasi PCG, memperkukuh daya saing kos, serta memberikan nilai jangka panjang.

Ulasan Pihak Pengurusan

Mazuin Ismail, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG berkata, “Suku kedua 2025 membawa beberapa cabaran operasi dari dalaman mahupun luaran yang memberi kesan kepada prestasi loji-loji kami. Dari segi dalaman, kami telah menutup PC Ethylene secara proaktif bagi kerja pembaikan dinding tangki tanpa menjejaskan komitmen kami kepada pelanggan. Kami turut mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan operasi di PC Aromatics berikutan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan.
 
Dari segi luaran, loji kami di PC Fertiliser Kedah terjejas akibat gangguan bekalan bahan suapan susulan insiden talian paip gas di Putra Heights. Gangguan ini telah diselesaikan dan operasi telah dipulihkan sepenuhnya pada Jun 2025.”
 
Mengulas berkenaan pertumbuhan, Mazuin berkata, “Pasaran komoditi kekal mencabar dikala lambakan bekalan serta ketegangan perdagangan dan geopolitik berterusan. Walau bagaimanapun, permintaan terus meningkat, terutamanya di Asia, didorong oleh peningkatan jumlah penduduk dan pembangunan bandar. Loji kami di Pengerang, yang dibina untuk menyokong pertumbuhan ini, sedang beroperasi untuk memenuhi Ujian Kebolehpercayaan Pemiutang (CRT) menjelang akhir tahun.”
 
Mazuin turut menekankan bahawa loji Melamin di Gurun, Kedah kini bersedia untuk mula beroperasi. Loji ini akan menggunakan urea dari PC Fertiliser Kedah sebagai bahan suapan, selari dengan pelan strategik pembangunan PCG untuk lebih berkembang dalam derivatif. Beliau juga melaporkan bahawa loji Isononanol (INA) di Pengerang, Johor telah berjaya mencapai Tarikh Operasi Komersil (COD) pada 12 Ogos 2025. INA, sejenis alkohol oxo, digunakan dalam pembuatan pemplastik, akan melengkapi tawaran produk Perstorp kepada pelanggan di industri pemplastik Asia Pasifik.
 
Mengulas mengenai strategi, Mazuin berkata, “Memandangkan persekitaran pasaran yang semakin dinamik, kami sedang menjalankan kajian semula portfolio secara strategik bagi keseluruhan rantaian nilai kami. Menjangkakan kos operasi akan meningkat disamping keperluan kapital semakin bertambah, kami turut mencatatkan kerugian pelupusan aset Perstorp.
 
Walaupun kami berdepan cabaran pasaran dan operasi pada suku ini, kedudukan kewangan kami kekal kukuh. Tambahan pula, usaha penciptaan nilai serta pengoptimuman kos telah meningkatkan EBITDA kepada lebih RM200 juta. Pencapaian ini telah membolehkan kami untuk mengumumkan dividen interim sebanyak RM240 juta, yang membuktikan komitmen berterusan kami kepada pemegang saham dalam memberi nilai jangka panjang yang mapan.
 
Memandang ke hadapan, walaupun keadaan pasaran kekal mencabar, kami yakin bahawa asas kukuh kami, digabungkan dengan inisiatif-inisiatif yang giat dijalankan akan terus memperkukuhkan daya tahan kami,“ akhiri beliau.

Mengenai PETRONAS Chemicals Group Berhad
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan lebih 16 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia, produk derivatif dan bahan kimia khusus.

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan empat dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan PETRONAS untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia.

PCG komited untuk memastikan amalan perniagaannya selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat global bagi amalan Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (EESG). PCG kini disenaraikan dalam Indeks FTSE4 Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Dow Jones Best-in-Class Indices.

Maklumat lanjut berkenaan PCG boleh didapati di www.petronaschemicals.com
 
Dikeluarkan oleh
PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG)
 
SUMBER: PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Yogeswari Thangavelu
Tel: +(6) 017 2000919
E-mel: yogeswari.thangavel@petronas.com 

--BERNAMA
+