Khamis 14/08/2025
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan.
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Persatuan Francais Malaysia (MFA) terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik Kerajaan dalam mempromosikan industri francais di dalam dan luar negara. Sebagai satu-satunya persatuan francais di Malaysia yang diiktiraf oleh Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan World Franchise Council (WFC), MFA komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mempromosikan francais Malaysia ke peringkat global serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi industri ini seperti penganjuran Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM), Misi Perdagangan Antarabangsa, padanan perniagaan dan penyertaan dalam program domestik.
Pada 21 hingga 23 Ogos ini, MFA akan menyertai Franchise Expo Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Sepanjang tiga hari program ini, MFA akan menyediakan pelbagai informasi dan khidmat nasihat berkaitan francais kepada para pengunjung, khususnya usahawan yang berminat menceburi bidang ini.
Terdahulu, pada Januari lalu, MFA telah menyertai Pernas International Franchise Festival (PIFF) anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), diikuti penyertaan dalam Hari Koperasi Negara peringkat Negeri Melaka pada Julai, bersama beberapa ahli MFA. Penglibatan ini bertujuan memperluaskan capaian promosi francais kepada masyarakat di seluruh negara, selain menjadi platform strategik untuk memperkenalkan jenama ahli MFA kepada pengunjung. Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan MFA dalam mempromosikan ahli-ahlinya agar terus berkembang dan menembusi pasaran yang lebih luas.
Selain aktiviti pameran, MFA turut konsisten melaksanakan program-program latihan francais yang menjadi prasyarat penting bagi bakal usahawan sebelum menceburi bidang perniagaan ini. Siri latihan yang ditawarkan adalah komprehensif, merangkumi setiap peringkat, daripada asas pengetahuan francais sehingga ke tahap kemahiran lanjutan. Program ini dikendalikan oleh panel penceramah berpengalaman serta pakar industri yang berkongsi pengetahuan, tips, dan strategi perniagaan yang relevan. Sehingga kini, MFA telah memberi pendedahan kepada lebih daripada ratusan ribu usahawan dan bakal usahawan francais melalui aktiviti yang dianjurkan ini.
Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, MFA adalah satu-satunya persatuan yang diberi mandat oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai badan pelaksana bagi aktiviti yang menyokong pembangunan industri francais. MFA menyokong sepenuhnya inisiatif KUSKOP dan PERNAS termasuk pelaksanaan Dasar Francais Negara 2030. Kami yakin dasar ini bukan sahaja akan memperkukuh industri francais, malah meningkatkan keberkesanan kawal selia, seterusnya membina sektor yang lebih dinamik dan berdaya tahan di peringkat antarabangsa.
“Tambahan pula potensi industri francais Malaysia boleh diperkukuh melalui pengintegrasian kelebihan kompetitif negara seperti status Malaysia sebagai hab halal global, kepelbagaian dan keunikan budaya, serta adaptasi teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI). Sinergi antara industri francais, pasaran halal, pelancongan dan teknologi akan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing, sekali gus membuka peluang baharu kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa,” tambahnya.
Dengan pelbagai program yang dirancang pada tahun ini, MFA optimis industri francais akan terus berkembang pesat, menjadi salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara, serta membuka peluang perniagaan dan pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat Malaysia.
Mengenai Persatuan Francais Malaysia (MFA)
· Persatuan Francais Malaysia (MFA) ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai badan bukan kerajaan yang mewakili industri francais di Malaysia.
· Berperanan mempromosikan, membangunkan dan mengembangkan industri francais tempatan
· Menjadi pusat rujukan utama bagi usahawan, francaisor, francaisi dan pihak berkepentingan lain dalam industri francais.
· Menganjurkan pelbagai program bagi menyokong pembangunan francais di dalam dan luar negara seperti ekspo, persidangan, latihan, jerayawara, libat urus dan misi perdagangan bagi membuka peluang pasaran baharu di dalam dan luar negara.
· Menjalin kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pertubuhan antarabangsa, dan rakan industri bagi memperkukuh ekosistem francais.
· Menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Francais ASEAN.
SUMBER: Persatuan Francais Malaysia (MFA)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nurul Ain
Bahagian Komunikasi Korporat
Persatuan Francais Malaysia (MFA)
Tel: 603-6241 4141
Faks: 603-6241 1551
E-mel: ain.mohamad@mfa.org.my
Laman web: www.mfa.org.my
--BERNAMA