KOTA KINABALU, 18 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan usahasama strategik bersama Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (IKSnita) melancarkan inisiatif sulung memperkasakan produktiviti usahawan wanita Sabah melalui penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). Program ini menandakan titik permulaan gerakan transformasi digital berfokuskan peningkatan produktiviti yang bakal membawa perubahan ketara kepada keupayaan perniagaan wanita di negeri ini.
Dilancarkan bersempena 1st ASEAN Women’s Conference on Best Practices (AWCOBP) 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), inisiatif ini bertujuan memastikan usahawan wanita Sabah menguasai teknologi pintar untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos, dan memperluas capaian pasaran. Faktor-faktor ini adalah elemen utama dalam mengangkat tahap produktiviti setanding piawaian global.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah, menegaskan bahawa produktiviti adalah nadi pertumbuhan ekonomi dan AI adalah pemangkin utama dalam mencapai sasaran tersebut. “Melalui usahasama strategik MPC dan IKSnita, kami membawa teknologi AI terus ke barisan hadapan keusahawanan wanita di Sabah. Produktiviti hari ini bukan diukur pada jumlah jam kerja tetapi pada keupayaan untuk mengoptimumkan operasi, membuat keputusan pantas berasaskan data, dan menjana output bernilai tinggi,” katanya.
Presiden IKSnita, Datuk Dayang Hjh Khatijah Datu Hj Bachtiyal, menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini sebagai usaha awal yang berpotensi membawa manfaat besar kepada usahawan wanita di Sabah.
“IKSnita menyambut baik inisiatif MPC ini sebagai langkah awal memperkenalkan teknologi AI kepada usahawan wanita Sabah. Kami melihat potensi besar untuk bekerjasama pada masa hadapan bagi membina keupayaan digital ahli-ahli kami. AI adalah teknologi strategik yang mampu meningkatkan produktiviti, memodenkan operasi, dan membuka peluang pasaran yang lebih luas,” jelasnya.
Melalui aplikasi automasi dan analitik pintar, usahawan wanita dijangka mencapai penjimatan masa operasi, mengurangkan kos pengeluaran, serta meningkatkan hasil jualan. Berdasarkan projek yang telah dilaksanakan sebelum ini, penggunaan teknologi AI terbukti mampu meningkatkan produktiviti sehingga 60% dan menaikkan keuntungan sehingga 20%. Keputusan ini dicapai melalui pendekatan berasaskan AI yang dapat mengenal pasti segmen pelanggan paling menguntungkan, mempercepatkan pertumbuhan, dan mengekalkan harga produk yang kompetitif tanpa menjejaskan margin keuntungan.
MPC dan IKSnita yakin, inisiatif ini adalah langkah pertama ke arah membina ekosistem keusahawanan wanita Sabah yang berproduktiviti tinggi, bersedia menghadapi cabaran global, dan mampu memanfaatkan teknologi untuk pertumbuhan jangka panjang.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC memacu produktiviti negara secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan enterpris dengan berpandukan tiga teras utama iaitu menghasilkan bakat masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi, dan membentuk ekosistem yang teguh. MPC berkolaborasi secara strategik dengan sektor swasta dan awam dengan menjadikan produktiviti sebagai agenda utama bagi melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nor Adira Adnan
Tel: 017-986 0758
E-mel: noradira@mpc.gov.my
Nama: Nik Haneez Amizan Nik Rosdi
Tel: 019-718 1804
E-mel: nikhaneez@mpc.gov.my
--BERNAMA