Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak (dua dari kanan) dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaya, Profesor Dr. Hasniza Zaman Huri (dua dari kiri) pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UM dan CGC, disaksikan oleh Ketua Pegawai Perniagaan CGC, Sean Tan (kanan) serta Ir. Dr. Teoh Wen Hui (kiri), Yang Menjalankan Fungsi Pengarah Eksekutif Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed). Kerjasama ini akan memperkukuh keupayaan dan memacu pertumbuhan mampan bagi PMKS Malaysia di bawah CGC Developmental Programme®.
KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 18 September 2025 bagi membentuk kerjasama strategik dalam peningkatan kemahiran Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui CGC Developmental Programme®.
Majlis menandatangani MoU ini menandakan satu kolaboratif yang signifikan dalam memperkasakan sektor PMKS di Malaysia. Diadakan di Galeri Seni Universiti Malaya, majlis tersebut disaksikan oleh wakil pengurusan tertinggi kedua-dua pihak, menunjukkan komitmen bersama terhadap pembangunan kapasiti PMKS. Melalui MoU ini, UM menerusi Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) akan menyediakan modul pembelajaran yang dirangka khusus untuk memenuhi keperluan PMKS. Perjanjian ini telah dimeterai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaya, Prof. Dr. Hasniza Zaman Huri dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.
Menurut Prof. Dr. Hasniza Zaman Huri, “Usaha ini juga selaras dengan hasrat Universiti Malaya sebagai institusi yang bukan sahaja berfokus kepada pembangunan akademik tetapi juga sebagai rakan strategik industri dalam membangunkan PMKS yang mampu beradaptasi dengan penggunaan teknologi terkini. Melalui penguasaan teknik dan ilmu pemasaran digital yang ditawarkan dalam program ini, para peserta khususnya PMKS akan mendapat manfaat secara langsung dalam meningkatkan daya saing, memperluas pasaran, serta memenuhi keperluan pembelajaran khas bagi mengukuhkan kelestarian perniagaan mereka di era digital.”
Sementara itu, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, “CGC akan terus melaksanakan mandatnya bukan sahaja sebagai penyedia jaminan pembiayaan, tetapi juga sebagai rakan pembangunan kapasiti usahawan PMKS. MoU dengan Universiti Malaya hari ini mengukuhkan komitmen tersebut melalui perkongsian ilmu, pemerkasaan kemahiran dan pengukuhan ekosistem perniagaan demi manfaat PMKS di seluruh Malaysia.”
Kerjasama ini dilihat sebagai satu model sinergi antara institusi akademik dan sektor industri yang berpotensi membuka laluan kepada pelbagai bentuk kolaborasi yang lebih meluas pada masa hadapan. Ia merangkumi aspek pemerkasaan kemahiran PMKS Malaysia, pembangunan profesional, serta pelaksanaan program latihan yang memberi impak positif dan manfaat menyeluruh kepada pertumbuhan perniagaan.
Mengenai UM
Ditubuhkan pada tahun 1905, Universiti Malaya (UM) merupakan universiti tertua serta universiti nombor satu di Malaysia. UM menjadi lambang kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi dan pengiktirafan antarabangsa. Kepelbagaian ialah budaya di UM, dengan lebih 12,000 pelajar antarabangsa serta kakitangan dari 80 buah negara yang bersama membentuk komuniti inklusif dan berdaya global. Menawarkan lebih 300 program pengajian dari peringkat asas hingga kedoktoran, UM menyediakan pembelajaran fleksibel berorientasikan industri yang menggabungkan teori dengan pengalaman dunia sebenar. Sebagai Universiti Penyelidikan Utama, UM memacu impak global melalui lebih 50 pusat penyelidikan dalam empat kluster strategik, menjadikan idea berinovasi sebagai penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat. Untuk maklumat lanjut, layari https://www.um.edu.my/ dan https://study.umcced.edu.my/.
Mengenai CGC
Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) ditubuhkan pada 5 Julai 1972. CGC dimiliki sebanyak 78.65% oleh Bank Negara Malaysia dan 21.35% oleh bank-bank perdagangan di Malaysia. CGC bertujuan untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang tidak mempunyai cagaran mencukupi atau rekod prestasi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan dengan menyediakan jaminan ke atas kemudahan tersebut. Sehingga Ogos 2025, CGC telah menyediakan lebih daripada 540,000 jaminan dan pembiayaan kepada PMKS bernilai lebih RM101 bilion sejak penubuhannya.
Pada 9 Februari 2018, CGC telah memperkenalkan imSME, platform rujukan pembiayaan/pinjaman PMKS dalam talian yang pertama di Malaysia. imSME berperanan sebagai saluran alternatif bagi PMKS untuk mendapatkan produk pembiayaan, sekali gus menjimatkan masa dan mengurangkan kerumitan proses permohonan. Sejak dilancarkan, portal imSME telah menerima lebih daripada 3.02 juta kunjungan, dengan lebih daripada 91,682 PMKS berdaftar di portal tersebut. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cgc.com.my dan https://imsme.com.my/.
SUMBER: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Azman Idrus
Ketua, Pengurusan Strategik & Komunikasi
Nama: Nazlin Amirudin
Ketua Seksyen, PR & Media, Media Sosial & CSR
E-mel: ccsr@cgc.com.my
--BERNAMA