Isnin 22/09/2025
Sijil Keahlian Seumur Hidup Kehormat disampaikan kepada Sheikha Jameela binti Mohammed Al Qasimi oleh Inclusion International (Foto: AETOSWire)
SHARJAH, Emiriah Arab Bersatu, 22 Sept (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Sharjah telah menganjurkan edisi ke-18 Kongres Dunia 2025 “We Are Inclusion” buat julung kalinya di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara, di bawah naungan serta dengan kehadiran Yang Mulia Sheikh Dr. Sultan bin Mohammed Al Qasimi, Ahli Majlis Tertinggi dan Pemerintah Sharjah.
Acara ini berlangsung dari 15 hingga 17 September di Pusat Ekspo Sharjah, dianjurkan oleh Sharjah City for Humanitarian Services (SCHS) bersama Inclusion International, dengan sokongan kerjasama strategik Biro Media Kerajaan Sharjah. Kongres ini menghimpunkan 152 penceramah, termasuk advokat kendiri, keluarga, pakar serta pembuat dasar daripada 160 organisasi merentasi 74 negara, menampilkan 59 sesi dengan penyertaan seramai 600 peserta.
Sepanjang acara tersebut, Inclusion International telah menganugerahkan keahlian seumur hidup kehormat kepada Sheikha Jameela binti Mohammed Al Qasimi, Pengerusi Sharjah City for Humanitarian Services, sebagai pengiktirafan atas sumbangan penting beliau dalam menggerakkan usaha global memperkasa individu berkeperluan intelektual serta memperkukuh hak dan peranan keluarga mereka dalam masyarakat.
Penghormatan berprestij ini merupakan anugerah antarabangsa yang disampaikan oleh rangkaian terbesar dunia yang berdedikasi memperjuangkan hak individu berkeperluan intelektual dan keluarga mereka. Penganugerahan ini sekali gus menempatkan Sheikha Jameela Al Qasimi dalam kelompok tokoh global terkemuka yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam memajukan perlindungan, pemerkasaan dan keterangkuman individu berkeperluan intelektual di pentas antarabangsa.
Sheikha Jameela Al Qasimi menyatakan bahawa penganugerahan keahlian seumur hidup kehormat oleh Inclusion International merupakan pengiktirafan berprestij kepada Emiriah Sharjah, di bawah kepimpinan visi Duli Yang Maha Mulia Pemerintah Sharjah, yang telah membentuk kerangka kemanusiaan berakar umbi berlandaskan keadilan serta sentiasa mengutamakan hak dan kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU).
Beliau turut menegaskan bahawa penghormatan ini adalah bukti legasi berterusan SCHS yang sejak penubuhannya menjadi mercu tanda keterangkuman, institusi utama dalam ilmu dan perkhidmatan khusus, serta pemacu utama kerjasama dan perkongsian antarabangsa.
Sue Swenson, Presiden Inclusion International, memuji Sharjah kerana menampilkan model inspirasi dalam menjaga serta memperkasa individu berkeperluan intelektual. Beliau berkata: “Emiriah ini telah membuktikan bahawa pelaburan dalam dasar inklusif mampu mengubah kehidupan individu dan keluarga secara positif, sambil memperkukuh komuniti. Penganjuran kongres ini menegaskan peranan Sharjah sebagai rakan utama dalam membentuk masa depan antarabangsa yang lebih inklusif.”
Penganjuran kongres yang diadakan setiap empat tahun di negara ahli ini mencerminkan komitmen Sharjah terhadap prinsip-prinsip Inclusion International: pendidikan inklusif, keterangkuman komuniti, pemerkasaan, kesamarataan, serta perlindungan hak. Prinsip-prinsip ini telah diterjemahkan menjadi program dan dasar praktikal yang membuahkan kejayaan sepanjang dekad lalu.
Majlis pembukaan turut menampilkan ucapan tokoh-tokoh kenamaan antarabangsa, termasuk Yang Berhormat Shaikh Mohamed bin Duaij Al Khalifa, Presiden Jawatankuasa Paralimpik Bahrain; Jamie Cooke, Pengarah Eksekutif Inclusion International; Hashem Taqi, Presiden Inclusion International MENA; serta Duli Yang Teramat Mulia Putera Mired bin Raad bin Zeid, Presiden Majlis Tertinggi bagi Hak-Hak Orang Kurang Upaya Jordan.
Sumber: AETOSWire
Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.
Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada: https://www.businesswire.com/news/home/20250919788186/en
Hubungi
Hussain Al Mulla
Hussain.AlMulla@SGMB.ae
Sumber: Sharjah Government Media Bureau
--BERNAMA