MIDA JALIN KESEJAHTERAAN BERSAMA KOMUNITI KAMPUNG CEGAR, BIDOR, MENERUSI PROGRAM CSR SANTUNI MADANI

Isnin 22/09/2025

BIDOR, Perak, 22 Sept (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus menyahut aspirasi YAB Perdana Menteri menerusi pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Santuni MADANI bersama komuniti Kampung Cegar, Bidor, Perak. Program yang berlangsung selama dua hari ini dianjurkan oleh MIDA menerusi gabungan usahasama Kelab MIDA, Koperasi MIDA (KOMIDA) dan Kelab Golf MIDA serta penglibatan aktif warga MIDA serta Jawatankuasa Penduduk Kampung Cegar.

Penganjuran program ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni Madani), yang bertujuan memberikan ruang kepada pengurusan dan kakitangan MIDA untuk menyantuni warga Kampung Cegar dengan menghulurkan bantuan, meningkatkan empati, pemahaman dan cakna akan cabaran sebenar yang dihadapi oleh komuniti setempat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, “MIDA bukan sahaja berperanan menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia, malah turut memikul tanggungjawab memperkasa kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat. Program CSR seperti di Kampung Cegar ini mencerminkan tekad kami untuk mendekati komuniti akar umbi, menyantuni keperluan rakyat, serta memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.”

Sepanjang penganjuran program ini, lebih 400 komuniti Kampung Cegar menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dilaksanakan MIDA, termasuk jamuan santai Rasa-Rasa Kampung Kita, aktiviti permeriksaan kesihatan, gotong-royong pembersihan kawasan sekitar kampung, taklimat keusahawanan, tayangan wayang pacak, perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring serta sukaneka rakyat. Inisiatif ini bukan sahaja mengeratkan jalinanan ukhuwah di antara warga MIDA dan penduduk Kampung Cegar, malah membuka ruang perkongsian ilmu untuk pembangunan ekonomi setempat.

MIDA terus memainkan peranan utama dalam memacu pembangunan pelaburan di negeri Perak, sekaligus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik. Di antara syarikat-syarikat tempatan yang menjalankan operasi pengilangan di sekitar Bidor adalah seperti Finnese Moulding (Perabot dan Lekapan), Hok Lai Timber (Produk Kayu) dan Bidor Kwong Heng (Pemprosesan Makanan) dengan jumlah pelaburan lebih RM55 juta dan menawarkan hampir 500 peluang pekerjaan. Selain itu juga, syarikat tempatan Gading Kencana Sdn. Bhd. telah memilih Bidor sebagai lokasi untuk ladang solar 30MW untuk menyumbang tenaga lestari kepada grid nasional. Manakala syarikat-syarikat multinasional seperti BYD (China), Murata Electronics (Jepun), Toyo Tyre (Jepun) dan Coherent (Amerika Syarikat) juga telah memilih negeri Perak sebagai pengkalan operasi pengilangan mereka.

Program CSR Santuni MADANI ini menegaskan komitmen MIDA bukan sahaja untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, tetapi juga merakyatkan pelaburan dengan membina ekosistem masyarakat yang inklusif, mampan, dan berdaya tahan, seiring aspirasi Ekonomi MADANI dan hala tuju pembangunan negara.

Pautan gambar:  
https://drive.google.com/drive/folders/1UKN7aCKzSvvcNO2_Ot5LKnRcaOsrkYm_?usp=sharing

Mengenai MIDA

MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 21 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran X, Instagram, Facebook, LinkedIn, TikTok dan YouTube.

SUMBER: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Puan Fatmah Ahmad
Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, MIDA
Tel: +603-2267 2428
Emel: fatmah@mida.gov.my

--BERNAMA



 

+