Isnin 22/09/2025
ALMATY, Kazakhstan, 22 Sept (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), SME Corp. Malaysia serta Persatuan Francais Malaysia (MFA), telah menganjurkan Misi Perdagangan Khas (Special Business Mission – SBM) ke Almaty sebagai langkah strategik memperluas kehadiran francais Malaysia di Asia Tengah dan seterusnya menembusi pasaran Eurasia.
Misi ini menghimpunkan beberapa jenama francais Malaysia terkemuka dengan lebih 50 sesi padanan perniagaan berjaya diatur bersama 30 syarikat tempatan berpotensi di Kazakhstan. Program turut merangkumi sesi dialog perniagaan, perkongsian pengalaman bersama penggiat industri francais tempatan serta tinjauan pasaran bagi meneroka peluang dan amalan terbaik pengembangan francais di rantau ini.
Misi ini dilaksanakan di bawah Enhanced Franchise Development Programme (EFDP) – inisiatif kerajaan sejak Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) untuk memacu pengantarabangsaan francais Malaysia. EFDP turut selari dengan aspirasi Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang memberi penekanan kepada peningkatan daya saing francais Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pasaran Asia Tengah, khususnya Kazakhstan, menawarkan potensi besar dengan pertumbuhan ekonomi pesat dan keterbukaan usahawan tempatan terhadap konsep francais. Kerajaan komited menyokong peluasan jenama Malaysia ke luar negara melalui pembiayaan, bimbingan menyeluruh dan jaringan strategik.
Kazakhstan dipilih sebagai destinasi baharu kerana kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk ke Eurasia, disokong oleh dasar mesra pelaburan seperti insentif cukai, pengecualian kastam dan perlindungan undang-undang pelabur. Pertumbuhan sektor perkhidmatan, peningkatan kuasa beli masyarakat bandar serta sokongan kerajaan terhadap model francais menjadikan negara ini pasaran yang menarik, khususnya dalam bidang makanan & minuman, pendidikan dan industri kreatif.
Selain itu, hubungan erat Malaysia–Kazakhstan serta persamaan budaya Islam membuka peluang besar kepada penerimaan produk halal, pendidikan dan gaya hidup mesra Muslim.
Sebagai agensi peneraju pembangunan industri francais, PERNAS kekal komited memperkukuh peranan sebagai pemudah cara utama bagi menyokong peluasan francais Malaysia secara mampan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab francais serantau.
MFA pula menegaskan bahawa misi ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melahirkan lebih banyak pemain francais bertaraf dunia, seiring aspirasi DFN2030 dan perancangan RMKe-13 untuk menjadikan Malaysia Hab Francais ASEAN menjelang 2030.
Misi perdagangan khas ini diyakini akan memperkukuh jaringan dagang dua hala serta membuka ruang lebih luas bagi francais Malaysia menembusi Asia Tengah dan seterusnya pasaran global. Pengembangan francais Malaysia ke peringkat antarabangsa dijangka membawa kesan pengganda ekonomi melalui penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi, peningkatan nilai eksport, kemasukan pelaburan asing serta pengukuhan ekosistem PKS tempatan dalam rantaian bekalan francais.
Latar Belakang Program Specialized Business Mission (SBM)