Sultan bin Ahmed Letak Batu Asas Kampung Al Reeh Al Mursala di Sri Lanka

Isnin 29/09/2025

Table
Sultan bin Ahmed Letak Asas Kampung Al Reeh Al Mursala (Foto: AETOSWire)


COLOMBO, Sri Lanka, 29 Sept (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Yang Amat Mulia Sheikh Sultan bin Ahmed bin Sultan Al Qasimi, Timbalan Pemerintah Sharjah merangkap Pengerusi Majlis Media Sharjah, telah meletakkan batu asas bagi pembinaan Kampung Al Reeh Al Mursala di wilayah Puttalam, Republik Sri Lanka. Projek ini, yang dilancarkan sebagai sebahagian daripada inisiatif kemanusiaan berskala luas, merangkumi pembinaan 50 buah rumah, sebuah masjid yang boleh memuatkan 200 jemaah, pusat kesihatan serta pelbagai kemudahan perkhidmatan asas demi kesejahteraan komuniti setempat.

Selain melancarkan projek kampung tersebut, Baginda juga merasmikan sebuah klinik perubatan bergerak serba lengkap yang berfungsi untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan dan pemeriksaan kesihatan rutin. Unit bergerak ini bakal memberi khidmat kepada penduduk Kampung Al Reeh Al Mursala serta kawasan sekitar, sekali gus meningkatkan akses penjagaan kesihatan di lokasi pedalaman dan kurang mendapat liputan.

Inisiatif ini disokong oleh program Al Reeh Al Mursala yang dibangunkan dan disiarkan oleh Pihak Berkuasa Penyiaran Sharjah (SBA) dengan kerjasama Sharjah Charity International (SCI). Baginda menegaskan bahawa projek kebajikan yang dilaksanakan di Sri Lanka ini adalah hasil kerjasama erat tersebut dan menjadi kesinambungan komitmen Sharjah dalam menyebarkan nilai-nilai kemanusiaan serta menyokong golongan yang memerlukan di seluruh dunia.

Baginda turut menegaskan bahawa usaha ini mencerminkan arahan dan visi Yang Amat Mulia Sheikh Dr Sultan bin Mohammed Al Qasimi, Ahli Majlis Tertinggi dan Pemerintah Sharjah, yang sentiasa menggalakkan amalan belas ihsan serta sokongan kepada komuniti yang terdedah. Baginda menekankan bahawa tindakan kemanusiaan adalah teras penting dalam penglibatan antarabangsa Sharjah, bukan sahaja bagi menangani keperluan mendesak, tetapi juga dalam memartabatkan maruah serta kesejahteraan jangka panjang.

Semasa lawatan tersebut, Yang Amat Mulia turut menyampaikan penghargaan yang mendalam kepada semua individu dan organisasi yang menyumbang dalam usaha kemanusiaan ini. Baginda menegaskan bahawa usaha kolektif para penderma, rakan kerjasama dan komuniti telah menampilkan imej cemerlang serta terhormat UAE dan Sharjah di pentas global—sekali gus memperkukuh nilai kemurahan hati dan solidariti yang menjadi pegangan negara.

Mohammed Hassan Khalaf, Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penyiaran Sharjah, menyifatkan projek di Sri Lanka sebagai satu pencapaian baharu bagi program Al Reeh Al Mursala. Disiarkan setiap tahun pada bulan Ramadan, inisiatif ini menyokong pembangunan infrastruktur penting seperti kampung, sekolah dan hospital. Beliau memuji kerjasama berterusan bersama Sharjah Charity International sebagai model kukuh kerjasama kemanusiaan yang berkesan. Khalaf turut menekankan kepentingan lawatan lapangan dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan, selain menjadi panduan bagi usaha berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.

Kampung Al Reeh Al Mursala akan merangkumi 50 buah rumah berkuasa solar, sebuah masjid, pusat kesihatan, taman kanak-kanak, pusat jahitan serta telaga air bersih. Sebuah klinik bergerak turut disediakan bagi menawarkan perkhidmatan kesihatan yang lebih fleksibel dan mudah diakses. Yang Amat Mulia juga meninjau agihan bantuan termasuk makanan, mesin jahit, basikal dan kerusi roda bagi menyokong pendapatan keluarga serta memperkukuh keupayaan berdikari. Sejak dilancarkan 14 tahun lalu, Al Reeh Al Mursala telah mengumpul kira-kira AED 67 juta, menyokong pelbagai projek kemanusiaan di lebih 110 buah negara. Antara inisiatif yang dibiayai termasuk Kempen Little Hearts, pembedahan mata, tajaan anak yatim, pembinaan masjid dan sekolah, pusat perubatan, telaga air serta pelbagai program penjanaan pendapatan.

Baginda turut diiringi Sheikh Saqr bin Mohammed Al Qasimi, Pengerusi Lembaga Pengarah Sharjah Charity International; Khalid Nasser Al Ameri, Duta UAE ke Sri Lanka; Mohammed Hassan Khalaf, Ketua Pengarah SBA; Tariq Saeed Allay, Ketua Pengarah Biro Media Kerajaan Sharjah; Hassan Yaqoub Al Mansouri, Setiausaha Agung Majlis Media Sharjah; serta beberapa pegawai kanan dan pengamal media dari Sharjah.

 *Sumber: AETOSWire

Galeri Multimedia/Foto Sedia Ada:
https://www.businesswire.com/news/home/20250925201754/en

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang.

Hubungi

 Hussain Al Mulla
 Hussain.AlMulla@SGMB.ae
 
Sumber: Sharjah Government Media Bureau

--BERNAMA

+