Rabu 01/10/2025
KUALA LUMPUR, Malaysia, 1 Okt (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare”), penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, telah menjalin kerjasama strategik dengan NetSfere, penyedia global bagi penyelesaian pemesejan dan kolaborasi perusahaan yang selamat, untuk melancarkan platform komunikasi terenkripsi di 30 hospital dalam rangkaiannya di seluruh negara.
Di bawah kerjasama ini, NetSfere akan membekalkan KPJ Healthcare dengan platform komunikasi yang selamat, patuh peraturan dan dikendalikan secara berpusat bagi melindungi maklumat sensitif, disamping membolehkan kolaborasi lancar dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan. Platform ini menawarkan penyulitan hujung ke hujung, panggilan suara dan video, perkongsian fail yang selamat serta kawalan pentadbiran IT lanjutan untuk menyokong pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia (“PDPA”) dan piawaian industri penjagaan kesihatan.
Dihoskan di Amazon Web Services (“AWS”) di Malaysia, NetSfere memastikan kedaulatan data sambil menawarkan sistem amaran krisis masa nyata, tadbir urus IT berpusat dan keupayaan audit menyeluruh. Platform ini merangkumi Net-C, pembantu AI yang membolehkan doktor dan kakitangan hospital mengakses aliran kerja serta maklumat secara selamat secara masa nyata, sekali gus meningkatkan produktiviti dan menambah baik hasil rawatan pesakit. Semua data disimpan dengan selamat di Malaysia, menyokong pematuhan terhadap piawaian Malaysian Society for Quality in Health (“MSQH”) dan Joint Commission International (“JCI”).
Penyelesaian ini mula diperkenalkan di KPJ Pasir Gudang Specialist Hospital pada Mac 2024, diikuti oleh Johor Specialist Hospital dan Ampang Puteri Specialist Hospital. Pelaksanaan awal di hospital-hospital ini telah menunjukkan kadar penerimaan yang tinggi serta peningkatan ketara dalam komunikasi klinikal yang selamat. NetSfere akan terus diperluas ke seluruh Kumpulan, menyokong doktor, jururawat, pasukan klinikal dan pengurusan hospital dalam menyampaikan penjagaan dengan lebih cekap dan selamat.
Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Kerjasama dengan NetSfere memperkukuh cara warga kerja kami berhubung dan bekerjasama, di samping melindungi kepercayaan yang diberikan oleh para pesakit kami. Ia menyediakan platform komunikasi yang selamat untuk pasukan kami berinteraksi dan bekerjasama sambil memastikan piawaian tertinggi dalam privasi data. Dengan memperkukuh keupayaan ini di seluruh rangkaian hospital, kami sedang membina asas digital untuk penjagaan yang lebih selamat dan pintar sejajar dengan kemajuan KPJ Health System.”
“Kami berbesar hati untuk membawa NetSfere ke semua 30 hospital KPJ bagi memberikan keyakinan kepada pesakit dan kakitangan bahawa mereka dilindungi,” kata Anurag Lal, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden NetSfere. “Platform kami dibina untuk melepasi penanda aras antarabangsa dari segi keselamatan, pematuhan dan kecemerlangan komunikasi. Dalam persekitaran penjagaan kesihatan masa kini, tadbir urus IT yang melindungi bukan sekadar pilihan teknologi, tetapi merupakan keperluan klinikal.”
Kerjasama ini menegaskan komitmen KPJ Healthcare untuk memacu inovasi di bawah KPJ Health System, yang mengintegrasikan aspek klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi memberikan nilai serta hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit, di samping memperkukuh landskap penjagaan kesihatan swasta di Malaysia.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
KPJ Healthcare