KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyokong pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil bahawa penolakan kunjungan Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN adalah tidak selaras dengan Maqasid al-Syariah. Dalam kerangka syariah, maslahah yang lebih besar dapat dicapai apabila pintu dialog dibuka dengan akal yang tenang dan hujah yang jelas demi memelihara keamanan (ḥifẓ al-amn) dan menegakkan maruah insani.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memiliki tanggungjawab moral untuk menggunakan peluang emas ini dengan kehadiran Presiden Amerika Syarikat dalam Sidang Kemuncak ASEAN sebagai medan diplomasi yang berimpak. Kehadiran tersebut tidak boleh ditafsir sebagai persetujuan terhadap dasar luar Amerika yang bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia. Sebaliknya, harus dijadikan kesempatan untuk menegaskan pendirian Malaysia tentang Palestin, genosid etnik serta keperluan keadilan sejagat.
Dalam ruang dialog rasmi, Malaysia berpeluang menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penindasan etnik, di samping mencadangkan penubuhan mekanisme bersama AS–Malaysia untuk memantau hak asasi di kawasan konflik dan menyokong penyiasatan bebas antarabangsa.
IKIM berpandangan bahawa sebarang kerjasama atau bantuan daripada Amerika Syarikat wajar diikat dengan syarat pematuhan terhadap prinsip hak asasi, larangan menyalurkan sokongan kepada pihak yang menggerakkan perang atau genosid serta penyertaan dalam usaha pemulihan pasca-konflik. Inilah ruang Malaysia menunjukkan kebijaksanaan diplomasi yang halus tetapi berprinsip, beradab tetapi berani, lembut pada bahasa namun tegas pada makna dan jika kesempatan ini dimanfaatkan dengan baik, Malaysia bukan sahaja memperlihatkan kedaulatan negara di mata dunia bahkan mampu mengangkat kepimpinan moral ASEAN untuk memperjuangkan suara umat sejagat.
Sekian, terima kasih.
Prof Madya Dato' Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
1 Oktober 2025 | 9 Rabi'ulakhir 1447H
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
Emel: nikhasnah@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
Emel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA