PEMENTASAN KARYA TEATER: ‘DI MANA PUTRA’ MENGETENGAHKAN TEATER GENRE KANAK-KANAK

Rabu 15/10/2025


Table
Pementasan Karya Teater: 'Di Mana Putra' mengetengahkan teater genre kanak-kanak pada 17 hingga 18 Oktober 2025 (Jumaat – Sabtu) bertempat di Auditorium Kompleks JKKN Kelantan

 
KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan dengan kerjasama Persatuan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur serta Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan telah menganjurkan Pementasan Karya Teater: Di Mana Putra pada 17 hingga 18 Oktober 2025 (Jumaat – Sabtu) bertempat di Auditorium Kompleks JKKN Kelantan.

Majlis pementasan turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Kamarudin Md. Nor, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, serta Yang Berusaha Encik Mohd Radzi bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kebudayaan & Kesenian) JKKN.

Selepas kejayaan pementasan Karya Agung: Tok Janggut ’13 Liang’ pada tahun 2024, ASPEK tampil berani dengan mempersembahkan sebuah teater kanak-kanak melalui naskhah baharu Di Mana Putra karya Lamia Aimal. Pementasan ini membariskan seramai 65 orang pelakon daripada pelbagai peringkat usia, bangsa dan latar belakang.

Dengan sentuhan magis, Di Mana Putra menggabungkan watak-watak animasi dan tokoh ikonik seperti Kapten Jack Sparrow, Peter Pan, Tok Kenali, Sarjan Che Hassan (Tok Janggut) dan lain-lain dalam sebuah penceritaan ringkas namun menghiburkan, khususnya kepada golongan kanak-kanak. Pementasan ini turut menyampaikan mesej positif berteraskan keharmonian dan nilai-nilai murni.

Sesi penceritaan hampir dua jam ini kekal menarik melalui pendekatan interaktif yang melibatkan penonton bersama para pelakon. Kehebatan barisan pelakon tempatan serta arahan kreatif oleh Aqil Rozai, graduan ASWARA, menjadikan pementasan ini tampil berbeza dan segar.

Selain itu, penonton juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah serta Anugerah Busana Terbaik yang dinilai oleh pihak produksi. Usaha ini sekali gus mengangkat martabat karya teater tempatan serta mempromosikan aktiviti kebudayaan sebagai produk pelancongan negeri Kelantan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman rasmi JKKN di www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web JKKN.

Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200  Faks: 03-2697 0786
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my  E-mel: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan @mysenibudaya
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya

SUMBER: Persatuan Legasi Cinta Seni

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nurmizanun binti Saari
Tel: 09-7417000 / 017-9525996 
E-mel: nurmizanun@jkkn.gov.my

Nama: Abd  Sham bin Abdul Razak
Tel : 09-7417000 / 010-3575387
E-mel: abdulsham@jkkn.gov.my 

--BERNAMA
+