RHB ISLAMIC BANK SERAH ZAKAT KORPORAT RM1 JUTA KEPADA MAIK, PERKASA ASNAF KELANTAN MELALUI INISIATIF EKONOMI BERSAMA UMK

Selasa 21/10/2025

Table
(Dari kiri) Ahmad Mukarrami Ab Mumin, Ketua Kumpulan Perundingan Shariah, RHB Islamic Bank; Khairul Hakeem Mohamed Sahari, Ketua Pegawai Kewangan, RHB Islamic Bank; ⁠Dato’ Haji Mohd Anis Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK dan ⁠Ameer Azeezy Tuan Abdullah, Ketua Pegawai Zakat, MAIK di majlis penyerahan zakat korporat


KOTA BHARU, Kelantan, 21 Okt (Bernama) -- RHB Islamic Bank Berhad (“RHB Islamic” atau “Bank”) telah menyerahkan bayaran zakat korporat berjumlah RM1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (“MAIK”) pada 16 Oktober 2025 yang lalu. Sehubungan dengan itu, RHB Islamic turut melancarkan beberapa inisiatif berimpak tinggi yang bertujuan untuk memperkasakan ekonomi golongan asnaf dan B40 di negeri Kelantan. Usaha ini diterajui oleh RHB Islamic melalui kerjasama strategik bersama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (“InsPeK”) UMK serta Universiti Malaysia Kelantan (“UMK”).
 
Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank turut berkongsi mengenai inisiatif tersebut, “Penyerahan zakat ini mencerminkan usaha berterusan RHB Islamic dalam memanfaatkan zakat sebagai salah satu instrumen kewangan sosial Islam yang mampu memacu ekonomi masyarakat. Melalui kerjasama strategik bersama MAIK dan UMK, kami bukan sahaja menunaikan zakat atas dasar tanggungjawab agama, malah memberikan peluang keusahawanan dan meningkatkan kemahiran para asnaf agar mereka dapat berdikari serta membina kehidupan yang lebih mampan.”
 
Komitmen RHB Islamic dalam membudayakan kewangan sosial Islam berimpak tinggi terus dizahirkan apabila bank tersebut menyalurkan RM350,000 daripada agihan zakat wakalah bagi membiayai dua buah projek utama, hasil kerjasama bersama InsPeK UMK iaitu:
 
• Program Pensijilan Profesional Terapi Postnatal untuk Wanita Asnaf Kelantan di Ibu Care UMK
- Latihan kemahiran bersijil selama 12 bulan diberikan kepada 10 wanita asnaf, miskin dan ibu tunggal dalam bidang penjagaan selepas bersalin (postnatal). Program ini turut disertai dengan bimbingan keusahawanan serta pemberian kit permulaan perniagaan.
 
• Program Pembinaan Kapasiti Pemuda Asnaf – Ladang Halia Asnaf Bachok
- Projek pertanian moden seluas 10 ekar di Bachok melibatkan 20 peserta asnaf di Bachok, menggunakan teknologi fertigasi dan polibeg dengan jangkaan hasil sebanyak 9,000 kilogram halia muda setahun yang dianggarkan bernilai RM112,000.
 
Majlis penyerahan ini turut menyaksikan RHB Islamic memperluaskan usaha pemerkasaan ekonomi mereka kepada golongan mahasiswa melalui Program B40 Empowerment Strategy – Be Your Own Boss (“BEST-BYOB”) 2025 di UMK dengan peruntukan sehingga RM100,000. Program BEST-BYOB merupakan hasil kerjasama strategik antara RHB Islamic dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), yang menyediakan latihan keusahawanan, bimbingan serta modal perniagaan. Program ini telah terbukti berjaya meningkatkan taraf ekonomi mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Utara Malaysia. Sebagai kesinambungan kepada kejayaan tersebut, pelaksanaan program ini kini diperluaskan ke UMK bagi membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan dan menjana pendapatan.
 
Usaha ini sejajar dengan strategi korporat PROGRESS27 RHB Banking Group, khususnya teras Responsible & Purposeful, yang menekankan pertumbuhan inklusif dan kesejahteraan komuniti melalui pembiayaan serta inisiatif berimpak sosial.

SUMBER: RHB Islamic Bank Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nishanthi Palani
Vice President, Group Corporate Communications
Tel: 012-420 0812
E-mel: nishanthi.palani@rhbgroup.com 

--BERNAMA

+