PEMENTASAN TRADISIONAL, MENYEMAI NILAI DAN IDENTITI BUDAYA KARYA TEATER 2025 : RANDAI ALAHAI SI MILAH

Khamis 30/10/2025

Table
Sebuah persembahan teater oleh KELAB PENGGIAT SENI TEATER NEGERI SEMBILAN dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan sempena Karya Teater 2025 
 
SEREMBAN, 30 Okt (Bernama) -- Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) mempersembahkan karya teater bertajuk Randai “Alahai Si Milah” sempena Program Karya Teater 2025. Pementasan ini diadakan selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 November 2025, bermula jam 8.45 malam, bertempat di Auditorium Raja Melewar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan. Majlis dihadiri oleh YB Nicole Tan Lee Koon, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan.
 
Ditulis oleh Noor Idlah Abdul Halim, karya ini mengisahkan tentang Milah, seorang gadis dari Kampung Dioh yang ingin berkahwin dengan Alexander, jejaka dari luar kampung. Namun, hasratnya dihalang oleh bapanya Pak Hamid, yang terikat dengan janji hutang terhadap Pak Tam. Penentangan itu turut disokong oleh penduduk kampung yang beranggapan bahawa perkahwinan dengan orang luar akan menyebabkan Milah meninggalkan kampung dan tidak kembali. Terperangkap antara cinta dan tanggungjawab, Milah akhirnya membuat keputusan berani melarikan diri dan berkahwin tanpa restu keluarga, kerana beranggapan bahawa pemikiran penduduk kampungnya masih kolot dan mengongkong masa depan wanita.
 
Mengekalkan unsur randai tradisional Minangkabau, pementasan ini menjanjikan pengalaman seni yang segar, menghiburkan serta sarat dengan mesej. Ia menonjolkan keindahan seni randai melalui tarian, muzik dan dialog, sambil mengangkat isu nilai keluarga, kebebasan wanita dan pertembungan antara adat serta pemodenan.
 
Menurut Pengarah JKKN Negeri Sembilan, “Objektif utama program Karya Teater 2025 ini ialah untuk mempergiat dan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam persembahan teater. Dengan adanya pementasan Randai ‘Alahai Si Milah’ ini, ia bukan sahaja memperkenalkan seni randai kepada khalayak moden, tetapi juga mengekalkan identiti budaya masyarakat Negeri Sembilan yang kaya dengan nilai dan tradisi. Kami berharap pementasan ini akan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menghargai dan meneruskan warisan seni budaya tanah air,” katanya.
 
Program Karya Teater 2025 merupakan inisiatif JKKN untuk merancakkan semula industri teater tanah air serta memperkukuh kolaborasi antara badan bukan kerajaan (NGO) seni, penggiat teater dan masyarakat. JKKN terus komited menjadi peneraju dalam memperkasa seni persembahan dan memperluas akses khalayak terhadap karya tempatan yang berimpak budaya tinggi.

Harga pas masuk:
RM20 (dewasa) | RM15 (pelajar)
Pembelian tiket:
www.cloudjoi.com/shows/4596-randai-alahai-si-milah
 
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web JKKN.
 
Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan
Tel: 06-767 6793/ 06-763 6308   Faks: 06-763 4417
Laman Sesawang: www.jkkn.gov.my  E-mel: ukk@jkkn.gov.my
Platform Media Sosial Rasmi JKKN:
Facebook: @jkknnegerisembilan
Instagram, Twitter & YouTube: @mysenibudaya 

SUMBER: Persatuan Legasi Cinta Seni 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Farah Shiken Binti Roslam
Pegawai
Unit Komunikasi Korporat,
JKKN Negeri Sembilan
Tel: 06-7636308 / 019-6035260
Emel: farahshikeen@jkkn.gov.my

Nama: Noor Marlini Binti Abdul Aziz
Pembantu PKK
Unit Komunikasi Korporat
JKKN Negeri Sembilan
Tel: 06-7636308 / 019-6736786
Emel: marlini@jkkn.gov.my

--BERNAMA 
+