JOHOR BAHRU, 7 Nov (Bernama) -- Pementasan Teater Muzikal Puteri Seri Embun merupakan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor (JKKN Johor) dengan Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ), dikelolaan Majlis Teater Negeri Johor (MTNJ) dengan sokongan Yayasan Warisan Johor (YWJ), Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Sekolah Seni Malaysia Johor. Program ini turut mendapat penajaan daripada Sinar Bakery dan Active One.
Pementasan ini berlangsung selama 2 hari, iaitu pada 8 dan 9 November 2025 (Sabtu dan Ahad) jam 8.30 malam, bertempat di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
Pementasan Teater Muzikal Puteri Seri Embun adalah hasil daripada inspirasi sebuah karya agung adaptasi daripada buku tulisan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah dengan tajuk buku yang sama.
Puteri Seri Embun adalah puteri kayangan yang menjaga sebuah perigi keramat. Puteri ini penuh kasih terhadap manusia dan membantu penduduk kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Tapi, kebaikan Sang Puteri disalahgunakan demi kepentingan diri dan akhirnya, ketamakan manusia jelas membawa ke arah kerugian.
Menjunjung karya penulisan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, malam ini disantuni dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim bin Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor sebagai tetamu kehormat.
Majlis ini turut dihadiri oleh Ybrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Ybhg. Tuan Mohd. Masni bin Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru dan YBhg. Tuan Haji Syed Norul Shahril bin Syed Nasir, Pentadbir Tanah Johor Bahru.
Barisan pelakon utama iaitu Yna Rose sebagai
Puteri Seri Embun yang merupakan pemenang
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Eastern Europe Movie Awards. Pelakon Mann Cik Kah atau Othman bin Ahmad adalah pelakon memegang watak sebagai
Pak Min, yang juga merupakan penulis skrip. Pementasan ini juga menjadi pentas untuk anak muda berkarya seperti Mohd Azrul Syafiq bin Samsudin.
Teater ini di bawah arahan On Jaafar, seorang pengarah teater yang merupakan Tokoh Seni Negeri 2025, dengan bimbingan bersama pengarah lakon Razif Adnan, pengarah muzik Hafetz Farhan, dan koreografer Mohd Fauzi Ahmad.
Teater muzikal ini menjadi platform memperkasakan seni persembahan tempatan dengan menggabungkan elemen lakonan, tarian, muzik dan visual grafik memperlihatkan Johor sebagai negeri yang terus subur dengan bakat dan kreativiti.
Dengan kehadiran tetamu kehormat serta sambutan hangat penonton, pementasan ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah penghormatan kepada warisan penulisan diraja dan keindahan sastera Melayu yang diterjemahkan ke pentas moden.
Dikeluarkan Oleh:Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Tel: 03-2614 8200
Laman Sesawang:
www.jkkn.gov.my E-mel:
ukk@jkkn.gov.my SUMBER: Persatuan Legasi Cinta Seni
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Siti Sahara Binti Usli
Pegawai Komunikasi Korporat, JKKN Johor
Tel: 013-883 3120
Nama: Siti Mariam binti Zulkifly
Unit Komunikasi Korporat, JKKN Johor
Tel: 017-756 4754
--BERNAMA